SC Malaysia dan SFC Hong Kong Tanda Tangan Perjanjian Pertingkat Kerjasama Kawal Selia

Kuala Lumpur, 15 Julai 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini menandatangani Surat Hasrat (LOI) bersama Securities and Futures Commission (SFC) Hong Kong bagi mempertingkat kerjasama kawal selia dan penguatkuasaan antara kedua-dua pengawal selia.

SC dan SFC berhasrat memudahcarakan pembangunan pasaran pelaburan yang lebih berkembang dan lebih meluas di kedua-dua negara melalui keseragaman dan penyamaan rangka kerja kawal selia dalam bidang peraturan, pengawasan dan pemasaran produk pelaburan yang dipersetujui bersama.

Perjanjian tersebut juga menyatakan hasrat badan kawal selia tersebut untuk mengkaji kemungkinan mewujudkan sistem pengenalpastian bersama bagi produk pelaburan yang dipersetujui bersama yang dikawal selia oleh kedua-dua pihak berkuasa.

SC dan SFC juga bersetuju untuk memperkukuh pengawasan aktiviti pasaran modal rentas sempadan dan untuk mempertingkat bantuan bersama dalam bidang penguatkuasaan.

LOI tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SC Tan Sri Md Nor Md Yusof dan Pengerusi SFC, Andrew Sheng di Kuala Lumpur.

Tan Sri Md Nor berkata majlis tanda tangan LOI hari ini menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha SC dalam mempertingkat hubungan kawal selia dan penguatkuasaan dengan pengawal selia sekuriti lain, dengan pandangan strategik untuk memperkukuh kedudukan pasaran modal Malaysia di peringkat antarabangsa.

LOI tersebut juga membuka peluang SC untuk mengkaji potensi untuk mengembang dan meluaskan produk pelaburan Malaysia dengan menggunakan peluang daripada kekukuhan pasaran modal Hong Kong, sejajar dengan matlamat yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal (CMP).

"Kami kini melaksanakan strategi untuk mempertingkat keserasian dan tahap hubungan global pasaran modal Malaysia. Ketika kita beralih ke fasa ketiga CMP, terdapat keperluan untuk menambahkan kepelbagaian kepada landskap pasaran, mempercepat inovasi produk dan perkhidmatan, serta mewujudkan peluang melalui kerjasama dengan pengawal selia seperti SFC HK bagi mengembangkan pasaran Malaysia di peringkat pasaran antarabangsa," kata beliau.

"SC dan SFC mempunyai sejarah kerjasama dan bantuan bersama, bermula pada tahun 1994 yang mana kedua-dua pengawal selia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai perkongsian maklumat dan penguatkuasaan. Perjanjian yang dibuat pada hari ini menandakan langkah seterusnya dalam perkembangan jalinan hubungan rapat yang sedia ada antara kedua pihak." Kata Tan Sri Md Nor.

SC juga komited terhadap kerjasama antarabangsa dan setakat ini telah menandatangani 23 MoU bersama pengawal selia di seluruh dunia.

En Sheng berkata SFC adalah komited dalam usaha memperkukuh kerjasama pasaran kewangan serantau bagi meningkatkan kualiti pasaran Asia dan menggalakkan pelaburan dalam produk kewangan yang berpunca dari rantau ini.

"Dengan menandatangani LOI ini, SFC mewujudkan perkongsian dengan SC dalam mempamerkan hasrat bersama kami untuk mempertingkat tahap kerjasama kawal selia antara pasaran masing-masing sejajar dengan objektif dan standard IOSCO (Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti). Malaysia dan Hong Kong merupakan pasaran sekuriti yang penting di Asia. Kami berharap untuk membuka pasaran dana serantau melalui dagangan rentas sempadan produk kewangan di negara masing-masing," kata En Sheng.

LOI tersebut merupakan yang keenam yang ditandatangani oleh SFC.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup