Kuala Lumpur, 12 April 2007
Malaysia mencapai kejayaan penting apabila terpilih menyertai kumpulan pengawal selia antarabangsa bagi melindungi pelabur daripada penyalahgunaan rentas sempadan. Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah diterima sebagai penanda tangan dalam satu perjanjian penting mengenai perkongsian maklumat dan penguatkuasaan undang-undang sekuriti. Pengumuman mengenai penerimaan Malaysia tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Presiden di Persidangan Tahunan ke-32 Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) di Mumbai, India yang dirasmikan oleh Menteri Kewangan India, Shri P. Chidambaram.
Penerimaan SC sebagai penanda tangan kepada memorandum persefahaman pelbagai hala (MMOU) IOSCO tersebut merupakan pencapaian utama dalam usahamemperkukuh pengawasan dan penguatkuasaan dalam pasaran modal dan sebagai satu pengiktirafan kepada SC sebagai pengawal selia utama dengan keupayaan penguatkuasaan daripada kumpulan pengawal selia sekuriti terpenting di dunia. Ahli IOSCO mengawal selia lebih daripada 90% pasaran sekuriti dunia.
“Dengan menjadi penanda tangan kepada memorandum persefahaman pelbagai hala (MMOU), ini meningkatkan lagi keupayaan pengawasan dan penguatkuasaan SC untuk melindungi pasaran Malaysia daripada mana-mana penyalahgunaan pasaran rentas sempadan yang berpotensi dan meningkatkan tahap perlindungan pelabur secara keseluruhannya dalam pasaran kita,” kata Pengerusi SC Dato’ Zarinah Anwar di Mumbai, yang mana beliau menghadiri persidangan tahunan IOSCO ke-32.
“MMOU tersebut menunjukkan kepada pasaran bahawa pengawal selia bekerjasama dan sentiasa berhati-hati terhadap sebarang penipuan sekuriti dan derivatif yang berpotensi. MMOU IOSCO tersebut mewujudkan satu rangkaian rentas sempadan berguna bagi pertukaran maklumat yang efisien dan tepat pada masanya di kalangan pengawal selia untuk memerangi penipuan kewangan dan manipulasi pasaran di peringkat antarabangsa,” beliau menambah.
Jane Diplock, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif IOSCO berkata, “Saya gembira melihat Malaysia dalam rangkaian kerjasama pengawal selia global memandangkan peranan kepimpinan yang kukuh yang telah dimainkan oleh SC dalam forum pengawalseliaan antarabangsa.”
M. Damodaran, Pengerusi Securities and Exchange Board of India dan Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Negara Membangun IOSCO, menekankan “Adalah penting bagi Malaysia untuk menjadi penanda tangan kepada MMOU kerana ia merupakan bidang kuasa negara membangun yang utama dengan keupayaan penguatkuasaan yang kukuh.”
Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala Mengenai Perundingan dan Kerjasama dan Pertukaran Maklumat tersebut merupakan perjanjian yang diwujudkan oleh IOSCO dan dianggap sebagai satu ukur rujuk antarabangsa bagi kerjasama dan perkongsian maklumat bagi menentang penipuan rentas sempadan dan pelanggaran undang-undang sekuriti yang lain. Sebelum kemasukan terkini tersebut, hanya 36 pengawal selia dengan keahlian IOSCO telah dimasukkan ke dalam kumpulan terpilih tersebut. Semua pemohon kepada MMOU adalah tertakluk kepada satu proses penilaian yang agak rumit dan komprehensif yang memerlukan mereka mempamerkan kuasa perundangan dan keupayaan mereka untuk memenuhi obligasi bawah MMOU tersebut.
Dengan kemasukan SC sebagai penanda tangan MMOU, SC kini mempunyai rangka kerja yang meluas bagi bantuan dan kerjasama dengan pengawal selia daripada pasaran maju yang utama termasuk United States Securities and Exchange Commission, Financial Services Authority United Kingdom, dan United States Commodities Futures and Trading Commission.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA