SC Meberi Notis Mengembalikan Wang Kepada Mangsa Skim Dagangan Niaga Hadapan dan Ekuiti Tidak Sah
26 Oktober 2016    |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memulakan proses pengembalian wang yang membabitkan skim dagangan niaga hadapan dan ekuiti tidak sah dan menyeru orang ramai untuk memfailkan notis tuntutan mereka sebelum pukul 5 petang pada 25 November 2016.
Pengembalian tersebut adalah susulan kepada sanksi pentadbiran terhadap Kahar Mohd Tahir (KP. 670215-01-6185) yang didapati telah menjalankan aktiviti pengurusan dana tanpa lesen. Dua individu lain, Afkariah Md Norani (No. Kad Pengenalan 710610-08-6814) dan Gurdeep Kaur a/p Nathi Singh (No. Kad Pengenalan 651228-08-5522) didapati bersubahat dengan Kahar menjalankan aktiviti yang tidak berlesen tersebut.

Pada 30 September 2016, kira-kira RM680,677 dalam akaun Kahar telah diperolehi bagi tujuan pengembalian semula kepada pelabur yang layak.

Siasatan oleh SC mendapati tiga individu ini secara tidak sah telah memperoleh wang daripada orang ramai antara Julai dan Disember 2015, kononnya untuk dilaburkan ke dalam skim dagangan niaga hadapan dan ekuiti.

Pelabur yang telah melabur dalam skim dagangan niaga hadapan dan ekuiti melalui Kahar, Afkariah atau Gurdeep antara Julai dan Disember 2015 digesa untuk mengemukakan tuntutan, bersama bukti pelaburan mereka, kepada SC sebelum 5 petang pada 25 November 2016. Borang tuntutan dan butiran lanjut mengenai perkara ini boleh didapati di laman sesawang SC di www.sc.com.my/claim

Setelah menerima tuntutan yang berkaitan, SC akan menentukan kadar pengembalian berdasarkan dana yang tersedia, bilangan pembuat tuntutan dan jumlah keseluruhan wang yang terbukti telah dilaburkan dalam tempoh tersebut.

Pelabur yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai proses pengembalian ini boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelabur dan Aduan di talian 03-62048999 atau [email protected].

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Ooops!
Generic Popup