Program SC Executive Enhancement and Development (SEED), yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan II YB Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah, akan menyediakan latihan dan sangkutan kerja bagi meningkatkan pengambilan kerja dan mobiliti kerjaya di pasaran modal untuk 500 siswazah sepanjang dua tahun akan datang.
“Kerajaan komited dalam meringankan bebanan sosial yang dihadapi oleh mereka yang mengalami kesukaran mendapatkan pekerjaan dalam persekitaran ekonomi yang begitu mencabar sekarang ini,” kata Dato’ Seri Ahmad Husni dalam ucapannya pada pelancaran tersebut, yang turut dihadiri oleh Timbalan-Timbalan Menteri Kewangan, YB Dato’ Chor Chee Heung dan YB Datuk Dr Awang Adek Hussin.
“Setakat ini, usaha yang dilakukan oleh SC dalam melatih dan meletakkan para siswazah dalam sektor kewangan akan memberikan kesan jangka panjang ke arah menyediakan peluang pekerjaan. Saya berasa gembira kerana SC berupaya merancang dan melaksanakan program ini dalam tempoh yang singkat.”
Dalam ucapannya, Pengerusi SC Dato’ Sri Zarinah Anwar berkata, “Program SEED menawarkan peluang yang unik dalam melatih dan membangunkan siswazah dengan perspektif pembangunan keupayaan untuk tempoh jangka panjang bagi memastikan pasaran modal dilengkapi secukupnya dengan pekerja yang mahir dan berpengetahuan.”
Bawah program ini, yang dibiayai oleh SC dan Tabung Pembangunan Pasaran Modal, siswazah akan diserapkan ke dalam tiga skim latihan yang dibangunkan khas untuk mewujudkan mereka yang bertaraf profesional dalam pasaran konvensional dan Islam, serta eksekutif bagi pelbagai fungsi pengawalseliaan dalam SC dan Bursa Malaysia.
Ketiga-tiga skim latihan tersebut, yang akan menggunakan pendekatan pelbagai modul pembelajaran berstruktur bagi pemerolehan pengetahuan dan pembelajaran daripada pengalaman bagi memperoleh kemahiran seperti pembangunan interpersonal, akan juga melibatkan sangkutan kerja dan pengantara pasaran modal bagi tempoh antara 11 hingga 22 bulan.
Selain itu, siswazah akan diberikan peluang mengambil peperiksaan pelesenan SC bagi meningkatkan lagi peluang mereka dalam pengambilan kerja di pasaran modal. Ini juga akan membantu mengurangkan kos latihan dan pembangunan pekerja baru bagi pengantara pasaran dan menyediakan sejumlah siswazah yang terlatih dan bersedia memasuki bidang pekerjaan di pasaran modal.