SC Melancarkan aFINity@SC di Simposium Pasaran Modal Dunia 2015
3 September 2015   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan "Pakatan Komuniti FinTech” atau "aFINity@SC", yang merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan lebih banyak minat dalam pembangunan Teknologi Kewangan (fintech).

Pelancaran tersebut telah diumumkan di Simposium Pasaran Modal Dunia (WCMS) 2015, dengan tema Pasaran dan Teknologi: Memacu Pertumbuhan Masa Hadapan melalui Inovasi.

aFINity@SC ditubuhkan dengan hasrat untuk mewujudkan jalinan di kalangan pihak berkepentingan fintech untuk mempercepatkan pertumbuhan dan inovasi dalam industri pasaran modal. Sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Modal Teroka Malaysia (MVCDC), SC akan menyelaraskan usaha dengan pihak berkuasa lain untuk mencapai beberapa matlamat utama, termasuk, meningkatkan kesedaran, membina hab untuk mengatur dan memupuk ekosistem fintech; dan menyediakan dasar dan peraturan yang jelas untuk menggalakkan inovasi kewangan yang bertanggungjawab dalam sektor ini.

Sebagai permulaan, SC akan mempelawa penyertaan daripada pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan antaranya penggiat inovasi, usahawan, syarikat-syarikat terkemuka, pelabur dan pihak berkuasa lain untuk menjana minat dan maklum balas mereka dalam bersama-sama membangunkan agenda fintech untuk Malaysia.

aFINity@SC juga akan membantu firma-firma menghadapi persekitaran kawal selia dengan memudahcara perbincangan antara syarikat-syarikat perniagaan dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan sebarang kebimbangan mengenai kawal selia dan risiko diberikan pertimbangan yang wajar.

Simposium dua tahun sekali tersebut, yang diadakan di Kuala Lumpur dari 3 hingga 4 September, dianjurkan oleh SC dengan kerjasama Maybank, Amundi Asset Management dan Nomura Asset Management.

Symposium WCMS ini adalah satu platform untuk menggalakkan perdebatan dan perbincangan terperinci yang diketuai oleh para pemikir global tersohor, penggubal dasar, pihak-pihak berpengaruh, organisasi perniagaan dan pemimpin pasaran.


WCMS 2015 menampilkan penceramah terkemuka termasuk Paddy Ashdown, Ahli Dewan Negara (UK) dan Presiden Royal Institute of International Affairs; NR Narayana Murthy, pengasas Infosys; Dr Marc Faber, Pengarah Eksekutif Marc Faber Limited. Simposium tahun ini juga menampilkan satu sesi khas mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) untuk membincangkan peluang dan cabaran untuk mencapai matlamat AEC.

Penutup WCMS 2015 akan menampilkan barisan pakar pasaran terkemuka yang akan membincangkan prospek pasaran Eropah dan Asia dalam tahun 2016 dan kesan perkembangan semasa ke atas prospek ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program WCMS 2015, sila layari http://worldcapitalmarketssymposium.org atau ikuti WCMS 2015 di Twitter (@wcms_kl).
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup