SC MELANCARKAN PROGRAM KERJASAMA DENGAN INDUSTRI UNTUK MENARIK 1000 GRADUAN KE DALAM PASARAN MODAL
27 Ogos 2013   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan kerjasama para penggiat industri, hari ini melancarkan satu program khusus dan berstruktur bagi menarik dan melatih 1000 graduan sebagai wakil niaga berlesen bagi pasaran modal dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Program Wakil Niaga Graduan 1000 (GRP1000) telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Pembentangan Bajet 2013. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC bagi membina kemahiran dan kebolehan industri untuk terus memacu perkembangan dalam pasaran modal.

GRP1000 dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal dan dilaksanakan bersama oleh SC dan pengantara pasaran berlesen. Lebih daripada 36 bank pelaburan dan firma broker saham terkemuka di dalam dan luar negara telah mendaftar untuk menjadi mengambil bahagian dalam GRP1000.

Graduan GRP1000 yang terpilih akan melalui program tiga peringkat meliputi kursus persediaan pra-pekerjaan, kurikulum latihan yang distrukturkan dan dibentuk berfokus kepada pengetahuan dan kemahiran yang khusus untuk pasaran modal, termasuk satu modul khusus untuk menyediakan graduan menghadapi peperiksaan pelesenan yang berkaitan dengan urus niaga sekuriti dan derivatif. Selepas menjadi wakil niaga berlesen, peserta akan terus diberikan peluang pembelajaran yang dibentuk khusus oleh majikan masing-masing sebagai sebahagian daripada pembangunan profesional pascapelesenan.

“SC bekerjasama dengan industri bagi mengenal pasti keperluan mereka dalam usaha menyokong perkembangan pasaran modal dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang. GRP1000 merupakan sebuah program yang dibentuk khusus bagi menangani keperluan kapasiti dalam industri. Inisiatif ini akan mengembangkan bekalan tenaga kerja wakil niaga berlesen baharu yang mempunyai kemahiran khusus melalui sebuah program pembangunan kerjaya yang dibentuk khusus untuk tujuan tersebut,” kata Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC, dalam ucapan alu-aluannya pada majlis pelancaran yang diadakan di SC pagi ini.

Pasaran modal dijangka berkembang sehingga RM4.5 trilion menjelang tahun 2020 berbanding RM2.6 trilion pada masa ini, dengan pasaran sekuriti dan derivatif menjadi komponen terbesar dalam pasaran modal.

“Kerajaan memperakui kepentingan mempunyai himpunan tenaga mahir yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia pada peringkat domestik dan antarabangsa. Juga penting untuk kita memupuk tenaga muda untuk terus memacu inovasi bagi mencapai pembangunan ekonomi yang lebih besar,” kata Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam ucapan perasmiannya.

SC telah menjalankan kaji selidik dengan bank-bank pelaburan dan firma-firma broker saham pada awal tahun ini untuk memudahkannya membuat anggaran mengenai keperluan kapasiti dalam pasaran sekuriti dan derivatif. Berdasarkan kaji selidik tersebut,didapati bahawa tambahan tenaga kerja sebanyak 2500, dengan satu pertiga daripadanya terdiri daripada orang berlesen, diperlukan untuk menyokong unjuran pertumbuhan bagi tempoh tiga tahun akan datang. GRP1000 diharapkan dapat memainkan peranan utama dalam memenuhi jurang kapasiti dengan membekalkan tenaga profesional muda yang mahir dan berpengetahuan dalam pasaran modal.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup