Pentadbir tersebut, dalam minggu ini, akan mengeluarkan notis meminta mereka yang ingin membuat tuntutan supaya mengemukakan tuntutan masing-masing. Pentadbir juga akan memberikan format terperinci dan maklumat mengenai dokumen sokongan yang diperlukan. Notis tersebut akan dipaparkan di laman web Pentadbir serta dalam akhbar-akhbar yang berikut iaitu Berita Harian, Malaysia Nanban, News Straits Times, The Borneo Post, The Star, Sin Chew Daily dan Utusan Malaysia. Sebaik sahaja notis umum itu dikeluarkan oleh Pentadbir, semua komunikasi berhubung dengan proses pengembalian itu mestilah dibuat terus kepada Pentadbir, dan bukan kepada SC.
Pentadbir akan menilai dan menyemak tuntutan yang diterima dan seterusnya akan membuat cadangan kepada SC mengenai kriteria kelayakan yang sepatutnya bagi pembayaran. SC kemudiannya akan mengemukakan kriteria itu kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan kelulusannya.