SC Melonggarkan Syarat bagi Penyuntikan Aset Asing dan Syarikat Multinasional ke dalam Syarikat Tersenarai Malaysia untuk lebih memudahkan Penyusunan Semula Korporat

Kuala Lumpur, 8 Mei 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan pelonggaran beberapa syarat bagi penyuntikan aset ke dalam syarikat tersenarai Malaysia untuk lebih memudahkan penyusunan semula korporat. Kelonggaran terkini itu memberikan syarikat tersenarai, terutamanya yang bermasalah, lebih pilihan untuk memperoleh aset berkualiti untuk mempelbagaikan pendapatan asas mereka. Kelonggaran tersebut adalah sejajar dengan langkah-langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Ucapan Belanjawan 2002nya, untuk memudahkan penyusunan semula syarikat.

Pemerolehan Aset Asing oleh Syarikat Tersenarai Malaysia

Kelonggaran berkaitan dengan penyuntikan aset asing ke dalam syarikat tersenarai di Malaysia telah dimasukkan ke dalam Guidelines on Acquisition of Foreign Assets SC yang telah disemak, yang menggantikan Bab 19 Policies and Guidelines on Issue/Offer of Securities SC. Garis panduan yang telah disemak itu boleh didapati di sini.

Berkuat kuasa dari tarikh pengumuman ini (8 Mei 2002), syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) boleh memperoleh aset asing yang dimiliki sama ada oleh rakyat Malaysia atau orang asing melalui terbitan sekuriti, meskipun pemerolehan tersebut melebihi nilai ambang 25% berpandukan nisbah-nisbah berikut:

  • Pembayaran bagi aset asing dibahagikan kepada aset ketara bersih syarikat tersenarai;
  • Pembayaran bagi aset asing dibahagikan kepada nilai pasaran agregat bagi kesemua syer biasa syarikat tersenarai sebelum pengumuman pemerolehan; atau
  • Pembayaran syer yang akan diterbitkan dibahagikan kepada modal syer ekuiti syarikat tersenarai.

SC kini membenarkan pemerolehan aset asing tersebut dilaksanakan, dengan syarat:

  • Aset yang akan diperolehi ialah aset berkualiti;
  • Pemerolehan itu dibiayai keseluruhannya menerusi terbitan langsung sekuriti baru kepada pembekal aset asing;
  • Tiada aliran keluar bersih dana dari negara bagi tempoh tiga tahun selepas penyiapan pemerolehan; dan
  • Pemerolehan itu memberikan manfaat kepada syarikat tersenarai dan negara

Dengan pelonggaran tersebut, halangan yang dikenakan sebelum ini, iaitu antara lain keperluan bagi aset asing dimiliki oleh rakyat Malaysia dan keperluan membawa kembali aktiviti penyelidikan dan pembangunan ke Malaysia bagi pemerolehan melebihi 25% nilai ambang, tidak lagi diterima pakai.

Penyuntikan Syarikat Multinasional ke dalam Syarikat Tersenarai Bermasalah

Berkuat kuasa dari tarikh pengumuman ini (8 May 2002), syarikat multinasional tidak tersenarai yang telah memantapkan kewujudan mereka di Malaysia tidak perlu mematuhi keperluan Dasar Pembangunan Negara (NDP) bagi penyertaan 30% ekuiti Bumiputera apabila memohon penyenaraian di BSKL menerusi pengambilalihan akas, atau penyenaraian pintu belakang dalam, syarikat tersenarai bermasalah.

Pelonggaran ini, walau bagaimanapun, hanya diterima pakai bagi syarikat milik asing yang ditubuhkan di Malaysia atau syarikat milik asing yang didaftarkan di Malaysia yang telah dikecualikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) daripada pematuhan kepada keperluan NDP yang disebutkan.

Untuk terus menikmati pengecualian daripada keperluan penyertaan 30% ekuiti Bumiputera, syarikat MNC ini dikehendaki terus memenuhi kriteria yang digariskan oleh MITI berhubung pengecualian tersebut.

(Terma "syarikat tersenarai bermasalah" ditakrifkan dalam garis panduan SC bertajuk "Flexibilities for Distressed Listed Companies, yang dikeluarkan pada 3 September 2001).

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup