SC Memanfaatkan Kewangan Digital bagi Pertumbuhan Pasaran Modal
30 Oktober 2016|   Kuala Lumpur
Persidangan Kewangan Digital SCxSC 2016 Ketengah Pembiayaan Berasaskan Pasaran, Perkhidmatan Pelaburan Digital, dan Teknologi Lejar Teragih

Malaysia akan terus memanfaatkan rangkaian instrumen kewangan digital yang semakin berkembang untuk meningkatkan penyertaan pelabur dalam pasaran modal, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bidang kewangan digital yang semakin berkembang terbukti dengan nilai pelaburan fintech yang dianggarkan telah mencapai US$22.3 bilion di peringkat global pada 2015, menurut satu laporan oleh Accenture.

SC percaya bahawa teknologi akan meningkatkan pembabitan pelabur runcit dan merangsang lebih banyak pilihan pembiayaan berasaskan pasaran yang berinovatif khususnya bagi segmen Syarikat Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) komuniti perniagaan. Sejak 2014, SC telah memulakan pemakaian awal mekanisme pembiayaan berasaskan pasaran, melalui pengenalan pendanaan ekuiti ramai (ECF) – negara pertama yang melaksanakannya di ASEAN – serta pembiayaan antara rakan setara (P2P) di Malaysia.

Dalam usaha berterusannya untuk menerajui perbincangan mengenai pendigitalan dalam pasaran modal, SC akan menganjurkan "Persidangan Kewangan Digital SCxSC 2016" (SCxSC), dengan tema “Memanfaatkan Keusahawanan" – (Capitalising Entrepreneurship). Persidangan dua hari itu akan diadakan pada 3 dan 4 November di bangunan SC di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Persidangan tahun ini turut meluaskan fokus perbincangan mengenai perkhidmatan pelaburan digital (khidmat nasihat robo – robo-advisory services) dan lejar teragih (distributed ledger). Keupayaan kewangan digital baharu ini boleh mengubah ciri-ciri pasaran modal dan membawa potensi pertumbuhan baharu kepada industri.

Persidangan itu akan menampilkan penceramah antarabangsa seperti Kevin Guo dari Dianrong (China), Sunil Aranha dari ThinCats (Australia), Chris Brycki dari Stockspot (Australia), Keir Veskivali dari Smartly (Singapore), Justin Amos dari Digital Asset Holdings (AS) dan Jan-Arie Bijloos dari Otomos (Singapore) yang akan berkongsi pandangan mengenai perkembangan terkini dalam kewangan digital.

Turut akan diadakan ialah Hari Terbuka Agensi dengan taklimat oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) dan wakil dari Cradle Fund yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem usahawan dan peringkat permulaan. Di samping itu, program tersebut akan menampilkan Hari Pelabur yang mana perniagaan yang ingin menjana modal melalui platform ECF yang diluluskan oleh SC akan memperoleh peluang pelaburan mereka. Untuk maklumat lanjut mengenai SCxSC, layari www.scxsc2016.com. Pendaftaran adalah terbuka kepada orang ramai. Masuk adalah percuma.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup