SC membenarkan kefleksibelan bagi pindaan kepada jaminan keuntungan, menetapkan syarat-syarat bagi perlindungan pelabur

Kuala Lumpur, 30 September 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan bahawa ia akan membenarkan kefleksibelan bagi pindaan kepada perjanjian jaminan keuntungan tetapi akan mengenakan syarat untuk mempastikan kepentingan pelabur sentiasa dijaga.

Kefleksibelan

SC telah mengkaji keperluan yang ditetapkan bagi pindaan kepada jaminan keuntungan setelah menerima maklum balas dan permintaan daripada industri dan telah mengambil keputusan untuk membenarkan kefleksibelan bagi:

  • permohonan yang dikemukakan selepas penutupan tahun kewangan syarikat berakhir; dan
  • permohonan yang melibatkan pindaan kepada tahun pertama jaminan keuntungan.

Permohonan tersebut dibenarkan jika penjamin boleh menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk memenuhi obligasi jaminan keuntungan. Bagi kes sedemikian, penjamin dibenarkan meminda perjanjian jaminan keuntungan hanya jika pindaan tersebut melibatkan pembayaran pampasan kepada syarikat/pemegang saham bagi kemelesetan keuntungan yang dijamin dan bukannya melibatkan pindaan kepada jumlah keuntungan yang dijamin atau lanjutan masa dalam memenuhi obligasi tersebut. Pampasan bagi kemelesetan keuntungan tersebut boleh dijelaskan samada melalui bentuk bayaran secara ansuran ataupun melalui penerbitan sekuriti baru.

Syarat perlindungan pelabur

Di samping itu, SC juga telah memperkenalkan syarat yang bertujuan untuk menjaga kepentingan pelabur, jika pindaan kepada jaminan keuntungan yang sedemikian berlaku. Sehubungan ini, penjamin yang memilih untuk mengubah tempoh masa jaminan keuntungan atau jumlah yang dijamin kini dikehendaki menyediakan margin sekuriti bersamaan sekurang-kurangnya 120% daripada jaminan keuntungan tahunan asal yang boleh dipertahankan, seperti yang tercatit di dalam prospektus syarikat.

Penjamin-penjamin keuntungan dikehendaki mendepositkan sekuriti-sekuriti tersenarai dengan pemegang taruhan bebas dan penjamin-penjamin tersebut juga dikehendaki mengekalkan tahap margin sekuriti ini pada setiap masa sehingga obligasi jaminan keuntungan dipenuhi.

Bagi kes di mana penjamin mencadangkan untuk menerbitkan sekuriti baru, penjamin kini dikehendaki mematuhi sekatan penjualan pegangan saham mereka yang sedia ada di dalam Syarikat dari tarikh pengumuman tentang pindaan dibuat sehingga satu (1) bulan selepas penyenaraian sekuriti baru tersebut.

Kefleksibelan dan keperluan yang dinyatakan di atas adalah berkuatkuasa serta merta dan merupakan tambahan kepada keperluan SC yang sedia ada berkenaan pindaan terhadap perjanjian jaminan keuntungan yang akan dikekalkan. Keperluan baru margin sekuriti yang berdasarkan jaminan keuntungan tahunan asal yang boleh dipertahankan walau bagaimanapun tidak akan dikenakan bagi kes yang sebelum ini telah diluluskan oleh SC. Penasihat dan pihak terlibat akan dimaklumkan tentang kefleksibelan dan keperluan baru ini pada waktu yang bersesuaian.

Prosedur

Semua cadangan baru hendaklah diumumkan tidak lewat dari tempoh satu (1) bulan sebelum penutupan tahun akhir kewangan tersebut dan SC akan hanya membenarkan permohonan bagi pindaan dibuat jika ia dikemukakan kepada SC dalam tempoh tiga (3) bulan daripada pengumuman tentang pindaan oleh Syarikat. Syarikat yang telah membuat pengumuman untuk meminda perjanjian jaminan keuntungan sebelum tarikh siaran akhbar ini (30 September 1999) tetapi masih belum mengemukakan permohonan kepada SC diberi tempoh masa tiga bulan, dari tarikh tersebut, untuk mengemukakan permohonan melalui penasihat mereka.

Pengarah dan penjamin adalah diingatkan bahawa mana-mana permohonan untuk meminda perjanjian jaminan keuntungan ini hendaklah dilaksanakan dengan mengambilkira kepentingan Syarikat.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Dikeluarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Pihak media yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Jabatan Hal-Ehwal Korporat di tel no. 03-654 8513 (Ann Teoh)/03-654 8625 (Soh Beng Choo) atau faks no.: 03-651 5078



Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup