SC membenarkan wakil dagangan, wakil pengenalan bagi industri pembrokeran saham
8 Oktober 2012   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis panduan bagi Orang Berdaftar yang menyediakan dua kelas baru bagi orang yang berdaftar, iaitu Wakil Dagangan dan Wakil Pengenalan.

Pengenalan kepada dua kategori baru orang berdaftar ini akan memperluaskan peluang bagi bakat baru menyertai industri pembrokeran saham dan memastikan pertumbuhan industri yang boleh kekal. Ini akan mengukuhkan peranan peniaga dan wakil-wakil peniaga dengan menyediakan peruntukan perkhidmatan khas yang membolehkan fokus diberikan terhadap perkhidmatan pelanggan dan membolehkan akses terhadap pangkalan data pelanggan yang lebih luas.

Langkah ini adalah untuk meningkatkan produktiviti lebih daripada 6,000 wakil berlesen dan menyediakan peluang pekerjaan baru dalam pasaran modal Malaysia untuk beribu-ribu warga muda negara.

“SC menganggarkan saiz pasaran modal Malaysia akan bertambah lebih sekali ganda daripada RM2.0 trilion pada tahun 2010 kepada RM4.5 trilion menjelang tahun 2020, manakala pasaran ekuiti disasarkan berkembang daripada RM1.2 trilion pada 2010 kepada RM2.4 trilion pada 2020. Industri pembrokeran saham sebagai tunggak penting pasaran modal kita mesti digalakkan membina kebolehan pengantaraan yang lebih besar,” kata Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC.

Garis panduan tersebut merangkumkan kriteria untuk kemasukan, skop aktiviti yang dibenarkan, proses pendaftaran serta kewajipan berterusan syarikat broker saham bagi penyeliaan orang yang berdaftar, perlakuan, latihan dan pembangunan yang berterusan.

Seseorang boleh memohon untuk didaftarkan sebagai Wakil Dagangan atau Wakil Pengenalan, tetapi bukan kedua-duanya sekali. Pemohon adalah tertakluk kepada peraturan kemasukan dan kompetensi, dan mereka perlu menyertai sepenuhnya program penyesuaian selama dua hari sebelum mengemukakan permohonan kepada SC.

Setelah berdaftar dengan SC, Wakil Dagangan boleh menerima pesanan dan melaksanakan dagangan, manakala Wakil Pengenalan pula boleh memasarkan dan mengenalkan bakal pelanggan kepada syarikat-syarikat broker saham.

Semua orang berdaftar, termasuk Wakil Dagangan dan Wakil Pengenalan, perlu mematuhi semua peruntukan yang berkenaan dalam undang-undang dan garis panduan sekuriti. Mereka juga dikehendaki memenuhi standard yang ditetapkan dalam soal tanggungjawab dan penjagaan terhadap para pelanggan mereka.

Garis panduan baru itu dikeluarkan berikutan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Haji Abdul Razak pada bulan Julai lalu, bahawa SC akan memperkenalkan dua kategori baru orang berdaftar bagi mengukuhkan peranan peniaga, menyediakan peruntukan bagi perkhidmatan khas dan mewujudkan akses yang lebih luas kepada pangkalan data pelanggan yang lebih besar.

Garis panduan itu boleh diperoleh di laman sesawang SC di www.sc.com.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup