Hasil daripada semakan itu, SC memutuskan bahawa MGB gagal membuat penzahiran yang mencukupi terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pelaburannya dalam projek IPP tersebut, dan oleh itu, sebagai tindakan segera, meminta Bursa Malaysia (Bursa) mengeluarkan arahan kepada MGB supaya membuat penzahiran tambahan bagi memastikan terdapat maklumat mencukupi bagi membolehkan pasaran membuat keputusan yang berasaskan maklumat. Penzahiran yang diperlukan ini telah dibuat oleh MGB pada 30 Ogos 2010.
SC memandang serius kegagalan MGB membuat penzahiran yang mencukupi sebelum 30 Ogos 2010, dan telah, pada 6 Oktober 2010, mengeluarkan peringatan dan amaran kepada MGB dan Lembaga Pengarahnya supaya benar-benar mematuhi tanggungjawab penzahirannya.
Laporan S320 EY juga mendedahkan tentang pergerakan dana di antara MGB dan entiti-entiti yang berkaitan dengan Projek IPP tersebut yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan amalan yang dikenali sebagai ’
round-tripping’.
Amalan ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan beberapa bidnag kuasa. Sehubungan ini, SC akan melaksanakan semakan berasingan untuk melihat penggunaan dan penzahiran yang dikaitkan dengan amalan tersebut.
SC ingin mengingatkan kepada semua Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan syarikat-syarikat tersenarai awam supaya mematuhi standard tinggi tadbir urus korporat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.