Bekas Pengarah Eksekutif Metrowangsa Asset Management Sdn Bhd dituduh bawah Seksyen 122B(b)(cc) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) kerana mengemukakan maklumat mengelirukan kepada SC mengenai aset yang diurus oleh syarikat tersebut. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-dua sekali.
Metrowangsa gagal menzahirkan pelaburan yang dibuat oleh dua pelanggannya, Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Mimos Berhad, dalam laporan tahunan dua kali setahunnya kepada SC bagi tempoh berakhir pada Disember 2000 dan Jun 2001.
Laporan tersebut perlu bagi memastikan pengurus dana berlesen mempunyai kebertanggungjawaban yang jitu ke atas jumlah dana yang mereka uruskan. Kegagalan dalam memberikan maklumat tepat akan menghalang keupayaan SC memantau dengan berkesan aktiviti pengurus dana yang diamanahkan dengan wang pelanggan.
Mohamad dikenakan dakwaan tambahan bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Metrowangsa, Dr Ghazali Atan, bawah seksyen 47C SIA berhubung dengan salah urus satu akaun amanah. Kedua-dua mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat pengeluaran yang menyalahi undang-undang sebanyak RM50 juta kepunyaan LTH, dan didenda RM200,000 setiap seorang.
Siasatan SC mendapati bahawa wang yang dibayar oleh LTH kepada Metrowangsa bagi pelaburan telah dikeluarkan daripada akaun amanah LTH, tanpa kebenaran atau pengetahuan LTH. Metrowangsa kemudiannya menggunakan wang LTH tersebut untuk membayar Mimos, yang sebelum itu memohon untuk menarik pelaburan mereka.
SC telah membatalkan lesen pengurusan dana dan pengurusan dana niaga hadapan Metrowangsa, serta lesen Dr Ghazali dan Mohamad pada tahun 2002.