SC Meminda Garis Panduan Terbitan Untuk Menyokong Fasa Kedua DBR

Kuala Lumpur, 30 Disember 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan ini mengumumkan bahawa ia telah meminda "Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti (Garis Panduan Terbitan) bagi melancarkan dengan lebih lanjut peralihan yang progresif ke arah pengawalseliaan berteraskan penzahiran ("disclosure-based regulation" - DBR).

Garis Panduan Terbitan, yang telah berkuatkuasa semenjak 1 Januari 1996, merupakan satu set garis panduan yang digunakan oleh SC dalam menimbangkan cadangan korporat yang perlu dikemukakan kepadanya di bawah seksyen 32 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Pelbagai perubahan dan pindaan telah dibuat terhadap keperluan dan obligasi yang ditetapkan di bawah garis panduan tersebut pada masa-masa yang lepas, di mana pindaan yang terakhir merupakan pindaan terhadap keperluan penyenaraian, pengambilalihan akas dan penyenaraian pintu belakang yang telah diumumkan oleh SC pada 30 April 1999.

Pindaan terkini Garis Panduan Terbitan menandakan bermulanya Fasa 2 daripada 3 fasa pelaksanaan program yang diamalkan oleh SC dalam peralihan daripada pengawalseliaan berteraskan merit, di mana merit pelaburan tawaran sekuriti dinilai dan diputuskan oleh SC, kepada pengawalseliaan berteraskan penzahiran, di mana SC mengawal selia kualiti maklumat yang dizahirkan dan pelabur memutuskan merit pelaburan tawaran. SC memulakan peralihan kepada DBR pada tahun 1996 dan menjangka akan mencapai rangka kerja DBR sepenuhnya menjelang tahun 2001.

Pindaan Garis Panduan Terbitan pada masa ini memberi fokus secara amnya kepada pelonggaran keperluan bagi penentuan harga sekuriti, penilaian aset dan penggunaan hasil kutipan. Di bawah Fasa 2 program DBR, SC akan mengurangkan penilaiannya terhadap perkara-perkara ini asalkan kesemua keperluan/garis panduan dipatuhi. Ringkasan pindaan adalah seperti berikut:

(i) Penentuan Harga Sekuriti
Selain daripada penentuan harga sekuriti di bawah tawaran awam permulaan, yang telahpun dibenarkan untuk ditetapkan berdasarkan kepada prinsipal pasaran semenjak 1996 di bawah Fasa 1 program DBR, perubahan kini telah dibuat terhadap keperluan penentuan harga sekuriti di bawah kesemua jenis cadangan korporat.

Syer Terbitan Hak
Syarikat tersenarai sekarang ini bebas untuk memutuskan harga syer terbitan hak pada tarikh penentuan harga yang akan ditetapkan selepas mendapat kelulusan SC bagi terbitan hak. Walau bagaimanapun, di mana harga terbitan ditetapkan dengan diskaun melebihi 30% daripada harga purata berwajaran pasaran lima hari pada tarikh penentuan harga, para penganjur dan pengarah syarikat tersenarai perlu memberi akujanji kepada SC bahawa mereka tidak akan menjual syer daripada "tarikh-ex" syer sehingga 10 hari pasaran selepas penyenaraian syer hak.

Dalam kes di mana waran adalah terikat dengan syer hak, harga terbitan syer hak patut ditetapkan dengan diskaun tidak melebihi 20% daripada harga purata berwajaran pasaran lima hari pada tarikh penentuan harga.

Terbitan Khas/Syer Penempatan Tertutup
Syarikat tersenarai yang ingin melaksanakan terbitan khas bagi tujuan memenuhi keperluan Polisi Pembangunan Negara (NDP) boleh menetapkan harga syer khas tanpa apa-apa sekatan terhadap diskaun daripada harga purata berwajaran pasaran lima hari pada tarikh penentuan harga yang ditetapkan selepas mendapat kelulusan SC bagi terbitan khas tersebut.

Bagi penempatan syer yang bukan untuk tujuan NDP, diskaun tidak melebihi 10% daripada harga purata berwajaran pasaran lima hari adalah dibenarkan, dengan syarat -

  • syer berkenaan tidak ditawarkan kepada pengarah eksekutif atau pemegang saham substansial yang sedia ada bagi syarikat tersenarai atau orang-orang yang berhubung kait dengan mereka;
  • saiz jumlah keseluruhan penempatan tidak melebihi 10% daripada modal terbitan dan berbayar syarikat tersenarai sebelum terbitan baru; dan
  • syer yang diagihkan kepada mana-mana satu pihak tidak melebihi 20% daripada penempatan keseluruhan.

Dalam hal di mana syarikat tersenarai ingin melaksanakan penempatan tertutup melebihi 10% daripada modal terbitan dan berbayar atau ingin menawarkan syer kepada mana-mana satu pihak melebihi 20% daripada jumlah keseluruhan penempatan, diskaun yang tidak melebihi 10% daripada harga purata berwajaran pasaran lima hari masih boleh dikembarkan dengan penentuan harga syer, tetapi mereka yang menerima syer tersebut perlu memberi akujanji kepada SC bahawa mereka tidak akan menjual syer mereka untuk tempoh sehingga 6 bulan selepas penyenaraian syer.

Syer Pertimbangan bagi Pemerolehan
Harga syer yang diterbitkan oleh syarikat tersenarai sebagai pertimbangan bagi perolehan hendaklah ditetapkan berdasarkan kepada harga purata berwajaran pasaran lima hari satu hari sebelum pengumuman perolehan dibuat. Bagi memenuhi sebarang pergerakan dalam harga saham syarikat tersenarai, penyemakan semula sehingga 20% dibenarkan bagi perubahan yang selanjutnya terhadap harga yang ditetapkan selepas menerima kelulusan daripada SC bagi perolehan tetapi sebelum pelaksanaan perolehan tersebut. SC cuma perlu diberitahu tentang harga yang disemak semula. Kelulusan yang spesifik daripada SC, walau bagaimanapun, diperlukan bagi sebarang tambahan kepada penerbitan syer yang timbul akibat daripada penyemakan semula harga.

Harga Waran/Sekuriti Boleh Tukar
Harga pelaksanaan waran atau harga penukaran sekuriti boleh tukar kini boleh ditetapkan dengan diskaun tidak melebihi 10% daripada harga purata berwajaran pasaran lima hari bagi saham pendasar pada tarikh penentuan harga yang akan ditetapkan selepas kelulusan SC bagi penerbitan waran atau sekuriti boleh tukar. Mekanisme harga "step up" dibenarkan untuk dimasukkan ke dalam harga pelaksanaan/penukaran bagi waran/sekuriti boleh tukar tetapi harga "step-up" mesti ditetapkan dan dizahirkan terlebih dahulu sebelum penerbitan waran/sekuriti boleh tukar tersebut.

Selain daripada itu, harga tawaran waran/sekuriti boleh tukar dibenarkan untuk didasarkan kepada nilai mereka yang berpatutan, tertakluk kepada syarat bahawa sebarang hasil kutipan tambahan yang diperolehi daripada tawaran diberikan kepada syarikat tersenarai.

Pelaksanaan Harga Opsyen bagi Kakitangan
Bagi opsyen yang ditawarkan di bawah skim opsyen syer pekerja, harga pelaksanaan bagi opsyen yang sedemikian adalah dibenarkan untuk ditetapkan dengan diskaun tidak melebihi 10% daripada harga berwajaran purata pasaran lima hari bagi syer pendasar pada tarikh opsyen itu diakui.

Harga indikatif (samada satu harga atau pelbagai harga) perlu dizahirkan kepada SC dalam permohonan untuk terbitan sekuriti. SC juga patut diberitahu apabila harga sekuriti ditetapkan kelak. Sebarang pengecualian daripada garis panduan perlu mendapat kelulusan SC terlebih dahulu.

(ii) Penilaian Aset

Sebarang penilaian semula aset yang bertujuan untuk dimasukkan ke dalam akaun tidak memerlukan kelulusan SC, kecuali dalam keadaan berikut:

  • Dalam kes di mana sesuatu tawaran awam permulaan di mana syarikat awam dan/atau anak syarikatnya dan/atau syarikat yang akan diperolehi sebagai sebahagian daripada skim pengapungan telah membuat atau bercadang untuk membuat penilaian semula aset dan telah memasukkan atau bercadang untuk memasukkan jumlah lebihan penilaian semula ke dalam akaunnya, di mana nilai pasaran bagi semua aset harta yang dinilai semula membentuk 25% atau lebih daripada modal terbitan yang diperbesar dan modal berbayar syarikat tersebut; dan
  • Dalam kes di mana sesuatu terbitan bonus melalui permodalan lebihan penilaian semula yang terhasil daripada penilaian semula aset harta, termasuk lebihan yang dimasukkan sebelumnya, di mana nilai pasaran aset harta yang telah dinilai semula membentuk 25% atau lebih daripada dana pemegang saham syarikat awam tersebut berpandukan akaun diaudit mutakhir yang dikeluarkan.

Di samping itu, SC tidak akan masuk campur dalam penilaian aset yang akan digunakan sebagai penentu bagi pertimbangan pembelian yang menyokong sesuatu perolehan, selagi -

  • agregat pertimbangan pembelian bagi perolehan itu adalah kurang daripada 25% dana pemegang saham syarikat yang membuat perolehan berasaskan akaun diaudit mutakhir yang dikeluarkan;
  • perolehan itu tidak membabitkan urusniaga pihak yang berhubung kait dan pihak yang berkepentingan; atau
  • perolehan itu tidak tergolong dalam cadangan pengambilalihan akas/ penyenaraian pintu belakang.

Walau bagaimanapun, dalam semua cadangan korporat yang membabitkan penilaian atau penilaian semula aset, penilaian tersebut hendaklah dilakukan oleh jurunilai berdaftar bebas yang akan memastikan ia mematuhi "Garis panduan mengenai Nilaian Aset yang Dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti" yang diterbitkan secara berasingan oleh SC. Di samping itu, prospektus atau pekeliling kepada pemegang saham bagi kes tersebut hendaklah disertakan sijil penilaian yang mengandungi semua keterangan dan maklumat aset harta sebagaimana yang diperlukan di bawah garis panduan tersebut. Laporan penilaian yang berkaitan hendaklah disertakan sebagai sebahagian daripada permohonan kepada SC walaupun penilaian/ penilaian semula itu tidak memerlukan kelulusan SC.

(iii) Penggunaan Hasil Kutipan

Perubahan telah juga dibuat di mana SC tidak akan masuk campur dalam penggunaan hasil kutipan yang dikumpul daripada terbitan sekuriti asalkan hasil kutipan itu digunakan untuk aktiviti utama perniagaan syarikat tersenarai itu. Di samping itu, syarikat tersenarai tersebut diberi kebebasan sepenuhnya untuk menentukan jangka masa tertentu untuk menggunakan hasil kutipan tersebut.

Syarikat tersenarai, walau bagaimanapun, dikehendaki memaklumkan di dalam laporan tahunan mereka kedudukan penggunaan hasil kutipan tersebut, iaitu sebagaimana yang telah diluluskan oleh pemegang saham syarikat dan, sekiranya berkaitan, oleh SC. Penzahiran sedemikian hendaklah berterusan sehingga hasil kutipan itu telah digunakan sepenuhnya.

Sebarang perubahan lanjut terhadap penggunaan hasil kutipan yang melencong sebanyak 25% atau lebih daripada penggunaan hasil kutipan yang asal memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat. Jika pelencongan adalah kurang daripada 25%, pemegang saham perlu diberitahu tentang semua perubahan. Sebarang penangguhan masa daripada yang telah ditetapkan sebelumnya bagi menyempurnakan penggunaan hasil kutipan hendaklah diluluskan melalui keputusan yang jelas oleh pihak Lembaga Pengarah dan hendaklah diberitahu kepada pasaran dengan jelas.

Pindaan-pindaan di atas akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2000. Semua permohonan yang masih belum diproses sebelum tarikh berkuatkuasa pindaan tersebut akan tertakluk kepada garis panduan yang sedia ada tetapi boleh, jika pemohon membuat permohonan, menggunakan kelonggaran harga yang telah dipersetujui. Orang ramai boleh mendapatkan salinan Garis Panduan Terbitan yang dipinda tersebut pada akhir Januari 2000.

Dalam membuat pindaan kepada Garis Panduan Terbitan ini, SC telah mengadakan rundingan yang menyeluruh dengan Persatuan Bank-Bank Saudagar Malaysia (AMBM), Persekutuan Syarikat Awam Tersenarai Malaysia (FPLC), Persatuan Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA), Persatuan Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MACPA), dan Institut Akauntan Malaysia (MIA). SC ingin merakamkan penghargaan kepada badan-badan industri tersebut di atas sumbangan mereka.

Adalah diharapkan pindaan-pindaan kepada Garis Panduan Terbitan ini akan mendorong pasaran modal Malaysia maju ke hadapan sehaluan dengan pelaksanaan DBR dan menyumbang terus ke arah kematangan dan kemajuan pasaran. Perlindungan pelabur, walau bagaimanapun, tidak akan diketepikan dan, di samping liberalisasi peraturan-peraturan, SC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati lalai dalam melaksanakan tanggung jawab ketekunan wajar dan tadbir urus korporat serta mereka yang tidak mengambil kira kepentingan yang terbaik bagi kesemua pemegang saham dan pelabur awam.

Memandangkan kini telah ada kelonggaran dalam menentukan harga sekuriti yang cukup dan keperluan lain di dalam Garis Panduan Terbitan, SC ingin menekankan sekali lagi bahawa waran terdedah, iaitu waran yang tidak terikat kepada mana-mana saham atau sekuriti hutang/boleh tukar, patut diterbitkan hanya kepada pemegang saham minoriti atau pemiutang syarikat tersenarai bagi tujuan -

  1. menguatkan kedudukan kewangan syarikat berikutan proses penyusunan semula; atau
  2. memberi pampasan kepada pemegang saham minoriti syarikat.

Di mana terdapat justifikasi, walau bagaimanapun, waran terdedah boleh diterbitkan sebagai mekanisme peningkatan modal kepada pemegang saham bukan minoriti atau bukan pemiutang, sekiranya waran terdedah tersebut diterbitkan pada penilaian yang berpatutan.

Di samping itu, syarikat tersenarai yang ingin menerbitkan dan menyenaraikan waran ekuiti yang baru bagi menggantikan waran ekuiti sedia ada yang diterbitkan sebelum ini dikehendaki membuat permohonan mereka kepada SC selewat-lewatnya pada 30 Jun 2000. Dengan tempoh matang bagi kebanyakan waran yang sedia ada telah, atau dalam proses, dipanjangkan, adalah dirasakan bahawa waran gantian tidak lagi memberi faedah kepada pasaran. Oleh yang demikian, selepas tarikh tersebut, penerbitan waran gantian tidak akan dibenarkan.

SC juga ingin memberitahu bahawa dengan pemulihan keadaan ekonomi, sekatan yang dikenakan semenjak pertengahan 1998 bagi penyenaraian di Papan Kedua oleh syarikat yang terlibat dalam pembuatan bahan binaan, operasi pakaian dan tekstil, dan pengeluaran komponen automotif adalah diketepikan. Walau bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa permohonan penyenaraian oleh syarikat yang beroperasi dalam sektor yang melampui kapasitinya seharusnya menunjukkan aspek kualitatif yang kuat dan pendapatan yang boleh dikekalkan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Dikeluarkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di talian 03-654 8513 (Ann Teoh) / 03-654 8625 (Soh Beng Choo) atau faks: 03-651 5078 atau e-mel [email protected]


Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup