SC yang mengadakan taklimat kepada pihak media hari ini, memperjelaskan perkara ini sebagai menjawab maklum balas daripada orang ramai dan laporan berita berikutan terbitnya Garis Panduan tersebut pada 18 September bahawa syarikat-syarikat tidak lagi dibenarkan mengadakan sidang akhbar atau menerbitkan siaran akhbar sebelum prospektus diterbitkan.
Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA) membezakan sistem pengawalseliaan pengiklanan sebelum (pengiklanan pra-prospektus) dan selepas (pengiklanan selepas prospektus) pendaftaran sesuatu prospektus oleh SC. Pengawalseliaan pengiklanan pra-prospektus adalah lebih ketat daripada pengiklanan selepas prospektus.
Tujuan Garis Panduan tersebut adalah untuk perlindungan pelabur - iaitu memastikan para pelabur tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak terkandung dalam prospektus. Keputusan pelabur seharusnya berpandukan prospektus.
Ketika tempoh pra-prospektus, para penerbit tidak perlu mendapatkan persetujuan SC apabila menjalankan beberapa kerja persediaan seperti:
Penyampaian;
Pengumuman apabila diberi mandat untuk bertindak sebagai penaja jamin;
Pengumuman yang dibuat ketika menanda tangan bersama perjanjian penajajaminan; dan
Pengumuman mengandungi kenyataan tertentu yang ringkas dan padat.
Walau bagaimanapun, syarat-syarat yang ditentukan dalam Garis Panduan tersebut yang berkaitan dengan pelaksanaan aktiviti-aktiviti ini mestilah dipatuhi.
Maklumat yang dibenarkan oleh garis panduan tersebut, boleh dibuat dalam bentuk bertulis, visual atau lisan. Maklumat bertulis hendaklah tidak mengandungi lebih daripada maklumat yang ditentukan dalam subseksyen 50(4)(b)(i) hingga (ix) SCA. Dalam perkataan lain, maklumat bertulis boleh mengandungi:
Nama penerbit sekuriti
Kenyataan ringkas secara umum jenis perniagaan utama atau apa yang diusahakan atau perniagaan utama atau apa yang diusahakan oleh penerbit
Nama, alamat dan, di mana perlu, pekerjaan pengarah atau pengarah yang dicadangkan, dan
Nama dan alamat broker saham, pemegang saham, penaja jamin dan penasihat utama yang berkaitan dengan terbitan yang dicadangkan, tawaran pelangganan atau pembelian, atau pelawaan untuk melanggan atau membeli sekuriti.
Perenggan 7(a)(vi) Garis Panduan tersebut membenarkan syarikat-syarikat menyediakan maklumat secara lisan, yang termasuk:
Latar belakang penganjur
Sejarah perniagaan
Penggunaan hasil kutipan
Statistik mengenai Tawaran Awam Permulaan (IPO) [termasuk nisbah Proforma Aset Ketara Bersih (NTA), Perolehan Sesaham (EPS), Perolehan Harga (PE) dan sebagainya]; dan
Prestasi syarikat sepanjang lima tahun yang lalu
Maklumat lisan tidak terkandung dalam takrifan `prospektus' di bawah SCA.
Berkenaan dengan pengiklanan selepas prospektus, sebarang maklumat boleh disebarkan selagi maklumat tersebut terkandung dalam prospektus.
Garis Panduan tersebut diperkenalkan berikutan penggubalan seksyen 50 SCA pada 1 Julai 2000. SC menegaskan bahawa Garis Panduan tersebut tidak bertujuan untuk menyekat maklumat bukan promosi yang disebarkan untuk pengetahuan orang ramai mengenai tawaran sekuriti yang dicadangkan.