SC Memperkenalkan Langkah Baru Untuk Menggalakkan Pertumbuhan REIT

Kuala Lumpur, 21 Ogos 2008

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan semakan Guidelines on Real Estate Investment Trusts (Garis panduan REIT) bagi mempertingkat daya tarikan Bursa Malaysia sebagai sebuah destinasi untuk penyenaraian REIT dan menggalakkan industri REIT yang cergas dan berdaya saing secara domestik dan juga serantau.

Garis panduan tersebut, yang selaras dengan standard dan amalan yang diterima antarabangsa, turut menangani beberapa isu yang mempengaruhi peserta pasaran dalam pengurusan dan penggalakan REIT sebagai alat pelaburan yang menarik. Ia juga mengandungi langkah-langkah untuk menggalakkan standard perilaku yang lebih tinggi di kalangan pengantara pasaran.

Lebih kefleksibelan bagi Pengurus REIT

Ekoran daripada langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2008 untuk menggalakkan syarikat pengurusan asing REIT membuka operasi di Malaysia dan menyenaraikan REIT mereka di Bursa Malaysia, Garis panduan REIT kini membenarkan sehingga 70 peratus pemegangan asing dalam syarikat pengurusan REIT, suatu kenaikan daripada 49 peratus sejak tahun 2005.

Selain itu, Garis panduan semakan ini juga memberikan lebih kelonggaran kepada pengurus REIT untuk menguruskan kepelbagaian portfolio REIT mereka. Sebagai contoh, Pengurus REIT akan mempunyai lebih kebebasan untuk melabur dalam hartanah asing. Ia juga membenarkan sebahagian daripada portfolio tersebut mengandungi hartanah yang tidak dimiliki sepenuhnya atau mempunyai pemilikan majoriti.

Bagi melindungi pelabur daripada risiko yang tidak perlu atau berlebihan, REIT tidak dibenarkan memperoleh hartanah yang tidak menyalurkan pendapatan seperti tanah terbiar dan hanya boleh mendapatkan harta yang masih dalam pembinaan atau hartanah yang belum siap pembinaannya sehingga 10 peratus daripada keseluruhan nilai aset tersebut.

Pengurus REIT kini boleh menjana dana dengan lebih cepat bagi tujuan pemerolehan atau perbelanjaan modal. Garis panduan itu juga disemak bagi membolehkan Pengurus REIT mendapatkan mandat umum daripada pemegang unit bagi menerbitkan unit sehingga 20 peratus daripada saiz dana. Sebelum ini, penerbitan sebarang bilangan unit baru memerlukan Pengurus REIT mengadakan mesyuarat bagi mendapatkan kelulusan khusus daripada pemegang unit.

Selain itu, kelulusan daripada SC terhadap penilaian hartanah hanya diperlukan sekiranya pemerolehan hartanah itu dibiayai, atau dibiayai semula dalam masa satu tahun, melalui penerbitan unit baru. Dalam keadaan lain, SC akan melaksanakan pasca semakan penilaian bagi memastikan penilaian tersebut mempunyai sokongan dan munasabah.

Standard perilaku pasaran yang tinggi

SC juga telah mengambil beberapa langkah untuk memperkukuh perlindungan pelabur dengan menggalakkan standard perilaku yang lebih tinggi di kalangan pengantara pasaran.

Ini ditunjukkan dalam keperluan baru yang mengarahkan Pengurus REIT supaya melantik orang yang bertanggungjawab terhadap pematuhan. Ini bagi memastikan bahawa undang-undang sekuriti, undang-undang tanah, garis panduan dan peraturan dipatuhi pada setiap masa, dan untuk memperkemas keperluan yang sama di antara Pengurus REIT dan semua pengantara pasaran modal.

Bagi melindungi kepentingan pelabur selanjutnya. REIT tidak dibenarkan memperoleh hartanah yang tidak menjana pendapatan seperti tanah terbiar, dan hanya boleh memperoleh harta yang sedang dalam pembinaan atau hartanah yang belum siap pembinaannya sehingga 10 peratus daripada jumlah nilai asetnya. Turut diperkenalkan adalah satu peraturan yang mentadbir urus niaga pihak berkaitan bagi mengawal selia urus niaga tersebut dan pemegang amanah kini mempunyai peranan yang lebih besar dalam urus niaga pihak berkaitan.

Selain itu, semakan semula Garis panduan REIT ini juga memerlukan penasihat prinsipal mematuhi Guidelines on Principal Advisers for Corporate Proposals. Ini memperincikan siapa yang boleh bertindak sebagai prinsipal bagi pengemukaan cadangan korporat kepada SC, selain standard kecekapan yang diperlukan bagi penasihat prinsipal apabila berurusan dengan cadangan korporat yang membabitkan tawaran awam awal REIT di Bursa Malaysia.

Garis panduan REIT juga merujuk kepada keperluan bagi mematuhi Guidelines on Due Diligence Conduct for Corporate Proposals yang menggariskan apa yang dikehendaki oleh SC daripada penerbit, penasihat dan pakar, dalam perilaku ketekunan wajar mereka, bagi memastikan para pelabur boleh membuat keputusan pelaburan bermaklumat yang berasaskan maklumat yang kukuh dan tepat.

Garis panduan semakan REIT, yang berkuat kuasa mulai 21 Ogos 2008, boleh diperoleh di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup