SC memperkenalkan opsyen “perumpukan lebihan” dan mekanisme penstabilan bagi IPO

Kuala Lumpur, 11 Januari 2008

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini memperkenalkan satu opsyen perumpukan lebihan dan mekanisme penstabilan harga untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing proses penjanaan dana bagi IPO sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.

Pengenalan kepada mekanisme ini dibolehkan oleh penguatkuasaan Peraturan Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Mekanisme Penstabilan Harga) 2008 pada 11 Januari 2008.

Opsyen ini membolehkan penerbit membuat lebihan peruntukan sekuriti melebihi jumlah saham dalam saiz tawaran asal bagi memastikan permintaan bagi saham dalam sesebuah IPO boleh ditangani secara cekap dan naik turun harga dalam tempoh sebaik sahaja selepas penyenaraian, boleh diminimumkan. Mekanisme tersebut boleh digunakan bagi sebarang IPO yang nilai keseluruhan saham yang ditawarkan tidak kurang daripada RM150 juta. Ini boleh dilakukan pada tarikh penyenaraian penerbit dan boleh diteruskan sepanjang 30 hari pertama dagangan daripada tarikh IPO.

Sekiranya mekanisme penstabilan harga digunakan, satu pengumuman mesti dibuat kepada bursa apabila saham disenaraikan dan pengurus penstabilan mesti menzahirkan aktiviti penstabilan pada dan selepas tempoh penstabilan.

Sekiranya pemulangan saham berlaku ekoran daripada opsyen perumpukan lebihan dan/atau mekanisme penstabilan harga tersebut menyebabkan timbulnya obligasi untuk melaksanakan tawaran mandatori di bawah Kod Pengambilalihan dan Percantuman Malaysia 1998 (Kod), SC akan memberikan pengecualian daripada obligasi tersebut, tertakluk kepada kriteria tertentu yang perlu dipenuhi.

Satu set soalan lazim mengenai mekanisme penstabilan harga dan peraturan berkaitan (pdf) boleh didapati di www.sc.com.my. Laman web SC juga memberikan nota penjelasan mengenai pemakaian Kod di bawah mekanisme penstabilan harga.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup