Pelantikan penerima telah dipohon oleh SC berikutan dengan pelaksanaan audit yang dijalankan terhadap RBTR yang menimbulkan pelbagai kebimbangan mengenai perlindungan aset pelanggannya. Ini turut disahkan oleh aduan yang diterima daripada pelanggan RBTR, yang menyatakan tentang kegagalan mereka untuk menebus kembali pelaburan yang dibuat melalui RBTR.
Pada bulan Ogos tahun ini, SC telah melancarkan siasatan terhadap hal ehwal RBTR serta aktiviti Locke Capital Investment (BVI) Ltd dan Locke Guaranty Trust (NZ) Ltd, yang didakwa bertindak sebagai pengurus dana di Malaysia yang bekerjasama dengan RBTR. SC juga telah mengarahkan RBTR menghentikan kegiatan mendapatkan dana baru daripada orang ramai, sama ada secara langsung atau melalui wakilnya, sehingga notis selanjutnya.
Perintah ex-parte tersebut, yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Dr Hamid Sultan Bin Abu Baker J., membenarkan penerima, antara lain, mengambil semua dokumen RBTR, menyelaraskan dan menilai ketepatan kewangan pelabur RBTR, menjalankan akaun RBTR dan menangani pelanggan RBTR berhubung dengan pelaburan yang dibuat oleh RBTR. Ini adalah bagi menjaga aset milik pelanggan yang di bawah pengurusan RBTR dan bagi membolehkan penerima mengenal pasti jumlah keseluruhan aset yang dipegang oleh RBTR pada masa ini bagi pihak pelanggannya. Hal ini akad didengar secara “inter partes” (antara pihak) pada 29 Oktober 2009.