SC Memperteguh Malaysia sebagai Peneraju ICM

Anjur Dialog Syariah Global mengenai Sukuk

Kuala Lumpur, 6 Mac 2007

Berdasarkan kedudukan terkini Malaysia sebagai penerbit sukuk terbanyak, iaitu mewakili 67 peratus pasaran sukuk dunia, SC menjadi teraju dalam mengukuhkan kedudukan pasaran modal Islam (ICM) negara melalui perkongsian dengan para penggiat global.

Sehubungan dengan ini, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Citigroup menganjurkan Dialog Syariah global yang bertemakan “Arah Aliran Terkini Dalam Pasaran Sukuk” di Kuala Lumpur hari ini, yang telah mengumpulkan ilmuan Syariah serata dunia dan para profesional pasaran untuk menggalakkan lebih integrasi dan kerjasama di kalangan mereka bagi menangani isu-isu Syariah yang penting, yang dihadapi oleh industri perkhidmatan kewangan Islam.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Pengerusi SC Dato’ Zarinah Anwar berkata bahawa dengan meningkatnya proses pengantarabangsaan pasaran sukuk, standard pematuhan, ketelusan dan tadbir urus yang diukur rujuk terhadap amalan terbaik dan standard global mesti dipatuhi.

“Kami berharap dialog sedemikian akan menggalakkan lebih banyak pertukaran pandangan Syariah bagi memudahcarakan pembangunan ICM di peringkat global,” beliau menambah.

Pada tahun 2006, 27 daripada 64 sukuk yang diluluskan oleh SC merupakan sukuk yang diterima di peringkat global menggunakan prinsip musyarakah, ijarah, istisna’ dan mudharabah. Dari segi nilai, sukuk yang distrukturkan menurut konsep musyarakah menyumbang sebanyak RM29.4 bilion atau 70 peratus daripada jumlah bilangan sukuk yang diluluskan di Malaysia.

Sementara itu, SC dan Bank Negara Malaysia akan memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju di peringkat global dengan rangka kerja yang akan dikeluarkan secara bersama mengenai penerbitan sukuk bukan ringgit oleh bank pembangunan dan institusi kewangan pelbagai hala, kerajaan asing dan kuasi kerajaan asing, serta syarikat multinasional tempatan atau asing.

Dengan sokongan daripada rangka kerja infrastruktur dan pengawalseliaan lain yang telahpun wujud, SC percaya fokus usaha negara dalam fasa seterusnya dalam pembangunan ICM negara mesti dipacu sebahagian besarnya oleh pihak industri.

Dato’ Zarinah berkata, “Kami berharap untuk melihat lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan, syarikat multinasional dan syarikat awam tersenarai yang utama tampil untuk menstrukturkan produk kewangan patuh Syariah yang baru dan inovatif yang akan menyumbang kepada penggalakan dan pertumbuhan ICM kita.”

Kedudukan Malaysia ke arah menjadi pusat kewangan Islam antarabangsa akan terus diperkukuhkan lagi dengan sokongan padu dan inisiatif agresif daripada sektor swasta Malaysia dari segi inovasi produk, memastikan kesesuaian dan penerimaan di peringkat global, penjenamaan dan promosi.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup