SC Mencela Affin Merchant Bank dan Mengambil Tindakan Menyekat Pengemukaan Cadangan Korporat

Kuala Lumpur, 3 Julai 2006

Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengenakan celaan awam terhadap Affin Merchant Bank Berhad (Affin) dan mengambil tindakan menyekat semua jenis pengemukaan di bawah Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 oleh Affin selama tiga bulan bermula pada hari ini. Sekatan tersebut dikenakan kerana Affin telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penasihat utama dan ejen penempatan bebas kepada skim penstrukturan semula yang dicadangkan oleh Omega Holdings Berhad (Omega).

Dalam cadangan skim penyusunan semula tersebut, sebuah syarikat baru, Energro Berhad (Energro) sepatutnya mengambil alih status penyenaraian Omega. Skim tersebut membabitkan suntikan perniagaan baru kepada Energro, iaitu perniagaan jualan dan pengedaran kenderaan Alfa Romeo di Malaysia, susulan Perjanjian Konsesi Jualan (Perjanjian) antara Milan Auto (M) Sdn Bhd (Milan Auto) – pemegang saham yang mengawal Energro – dan Fiat Auto S.p.A Itali (Fiat Auto). Kesahihan Perjanjian tersebut merupakan aspek utama dan juga tonggak kepada kebolehlaksanaan skim penstrukturan semula tersebut. Affin, sebagai penasihat utama, telah mengemukakan kepada SC cadangan bagi skim penstrukturan semula Omega pada 31 Januari 2003.

Setelah memberikan kelulusannya pada 28 Ogos 2003, SC mendapati bahawa Perjanjian tersebut telah ditamatkan. Oleh kerana tidak wujud sebarang perniagaan utama seperti yang dikemukakan dalam skim tersebut, SC, pada 2 Ogos 2004, telah membatalkan kelulusannya.

Pihak SC telah mendapati bahawa Affin telah gagal untuk melaksanakan langkah perlu untuk mengesahkan status dan kesahihan Perjanjian dengan Fiat Auto walaupun SC telah memaklumkan penamatan Perjanjian tersebut. Affin telah sebaliknya terus bergantung kepada pengemukaan yang dibuat oleh Milan Auto dan Energro.

Di samping itu, dalam kapasitinya sebagai ejen penempatan bebas, Affin telah gagal untuk melaksanakan tanggungjawabnya malah membenarkan Milan Auto menempat secara langsung saham Energro. Ini merupakan satu pelanggaran kepada Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti SC dan pelanggaran kepada syarat kelulusan SC bagi skim penstrukturan semula.

Dalam mengambil tindakan terhadap Affin, SC mengambil kira bahawa Affin, di bawah pengarahan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif yang baru, telah mengambil langkah untuk mengurangkan risiko dengan langkah proaktif untuk memperkukuh operasi perniagaan Affin dan mewujudkan set prosedur dan garis panduan penilaian risiko dalaman.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup