Chan ialah penilai berdaftar dan pengarah DMC, dan juga penanda tangan bagi laporan penilaian yang dikemukakan kepada SC melalui AmMerchant Bank Berhad berkenaan dengan pelaksanaan penyusunan semula Plantation and Development (Malaysia) Bhd (P&D) pada tahun 2002.
Laporan penilaian tersebut yang dikemukakan kepada SC didapati gagal menzahirkan butiran penting berkenaan dengan harta tanah perbandingan yang digunakan dalam penilaian, serta pendekatan penilaian yang digunakan bagi salah satu bidang tanah adalah tidak konsisten dengan penzahiran yang dibuat di dalam laporan berkenaan. Laporan tersebut juga gagal memberi justifikasi dan penjelasan bagi beberapa andaian yang digunakan dalam penilaian. Harta tanah yang dinilaikan sebanyak RM745,000,000 oleh Chan itu melibatkan beberapa bidang tanah berukuran 1,648 ekar di Ijok, Selangor.
Dalam celaan umum yang dikeluarkan melalui pihak akhbar dan yang dimuatkan di dalam laman web SC, pihak SC menyatakan bahawa kedua-dua pihak dicela dan dikenakan sekatan daripada membuat permohonan kepada SC atas kegagalan untuk bertindak secara profesional dan kegagalan untuk melaksanakan tanggungjawab ketekunan wajar sebagai seorang pakar dalam penyediaan laporan penilaian bagi permohonan kepada SC.
“Pakar-pakar seperti penilai, akauntan dan peguam adalah dilatih secara professional dalam bidang masing-masing. Mereka mempunyai tanggungjawab perundangan dan moral untuk melaksanakan profesionalisme dan ketekunan wajar serta mengambil langkah yang perlu untuk memastikan kecukupan dan ketepatan maklumat yang dizahirkan dan yang digunakan apabila memberikan pendapat kepakaran mereka. Seseorang pakar, sebelum membenarkan namanya dikaitkan dengan sebarang pendapat, perlu memastikan bahawa penilaian terperinci dan ketekunan wajar dijalankan dan beliau boleh menjustifikasikan pandangannya,” kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.
Beliau menegaskan bahawa profesionalisme dan ketekunan wajar adalah amat penting dalam rejim berteraskan penzahiran penuh.
“Pakar yang mengambil kesempatan atas status mereka atau gagal melaksanakan ketekunan wajar ketika memberikan pandangan mereka, mesti bersedia menghadapi akibatnya kerana tindakan mereka memberi kesan buruk kepada pelabur dan pasaran secara keseluruhan. SC tidak akan bertolak ansur dengan tindakan sedemikian dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap pesalah,” tambah Pengerusi SC.
Kedua-dua Chan dan DMC telah diberikan surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak harus diambil ke atas mereka. Penjelasan daripada mereka didapati tidak memuaskan.