SC Mendakwa Dalang di Sebalik Skim Pelaburan Internet – Tindakan Pelucuthakan Sivil Terhadap Satu Lagi Skim Penipuan Pelaburan Internet

29 Februari 2008

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mendakwa Phazaluddin bin Abu kerana bertindak sebagai pengurus dana tanpa lesen, melalui laman web internet www.danafutures.com.

Phazaluddin, yang dipercayai bertanggungjawab terhadap keseluruhan skim pelaburan Internet yang ditawarkan oleh laman web tersebut, disyaki telah mengumpulkan sehingga RM65 juta daripada pelabur. Dia dituduh bawah seksyen 15A Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Tuduhan terhadap Phazaluddin mendakwa bahawa antara 3 Januari 2007 dan 15 Jun 2007, dia bertindak sebagai pengurus dana melalui laman web, tanpa mempunyai lesen pengurus dana.

Jika sabit kesalahan, orang yang dituduh, bawah seksyen 15C Akta Perindustrian Sekuriti 1983, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Jaminan sebanyak RM200,000 dikenakan oleh Mahkamah Sesyen ke atas Phazaluddin, dengan dokumen perjalanannya diserahkan kepada Mahkamah sebagai syarat jaminan. Kes ini ditetapkan untuk didengar pada 3 November 2008.

Phazaluddin juga disiasat oleh SC bagi kesalahan pengubahan wang bawah Akta Anti Pengubahan Wang dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001.

Sebelum ini, pada 13 Februari 2008, satu tindakan pelucuthakan sivil telah difailkan di mahkamah bawah seksyen 56(1) Akta Anti Pengubahan Wang dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001 yang timbul daripada siasatan SC dalam satu lagi penipuan Internet yang membabitkan Cambridge Capital Trading. Permohonan telah difailkan untuk mendapatkan pelucuthakan RM2.5 juta daripada perolehan tidak sah.

Siasatan SC terhadap Cambridge Capital Trading timbul hasil daripada permohonan bantuan oleh Dubai Financial Services Authority dan Australian Securities and Investment Commission.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup