SC Mendakwa Tiga Pengarah Transmile kerana Bersubahat dengan Syarikat Tersebut dalam membuat Kenyataan yang Mengelirukan

Kompaun Ditawarkan kepada Dua yang Lain

Kuala Lumpur, 12 Julai 2007

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengenakan pertuduhan jenayah terhadap tiga individu kerana bersubahat dengan Transmile Group Berhad (TGB) dalam membuat kenyataan yang mengelirukan dalam butiran penting berkaitan dengan hasil TGB dalam Laporan Suku Tahunan syarikat tersebut dalam Dapatan Disatukan Yang Belum Diaudit bagi tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2006. kenyataan yang mengelirukan itu adalah berkaitan dengan laporan hasil TGB sebanyak RM338,473,000.

Tiga individu tersebut ialah Gan Boon Aun, bekas Ketua Pegawai Eksekutif TGB; Lo Chok Ping, bekas Ketua Pegawai Kewangan TGB; dan Khiudin bin Mohd, Pengarah Eksekutif TGB. Mereka dituduh di bawah seksyen 86(b) yang dibaca bersama dengan seksyen 122C(c) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA).

Pertuduhan itu menyatakan bahawa kenyataan yang mengelirukan itu berkemungkinan menarik minat orang lain untuk membeli sekuriti TGB, dan pada masa kenyataan mengelirukan itu dibuat, TGB secara munasabah sepatutnya mengetahui bahawa kenyataan itu adalah mengelirukan dalam butiran yang penting.

Sekiranya sabit kesalahan, orang yang dituduh boleh, di bawah seksyen 88B SIA, dikenakan denda tidak kurang daripada RM1 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

Gan Boon Aun dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta. Lo Chok Ping dan Khiudin bin Mohd pula dibebaskan dengan ikat jamin, masing-masing sebanyak RM300,000 dan RM500,000, dan dokumen perjalanan mereka diserahkan kepada mahkamah.

Kes tersebut akan didengar secara bersama pada 21-25 Januari 2008.

Juga berkaitan dengan TGB, SC telah menawarkan kompaun sebanyak RM500,000 tiap seorang kepada dua individu, Chin Keem Feung dan Shukri bin Sheikh Abdul Tawab, bagi kesalahan di bawah seksyen 122B(b)(bb) SIA 1983 kerana secara sedar membenarkan kenyataan mengelirukan dibuat kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Kedua-dua Chin Keem Feung dan Shukri bin Sheikh Abdul Tawab adalah Pengarah Bukan Eksekutif Bebas TGB serta ahlli jawatankuasa audit TGB. Sebagai Ahli Lembaga Pengarah TGB, mereka telah meluluskan pengeluaran laporan hasil TGB sebanyak RM338,473,000, sedangkan mereka mengetahui terdapat isu perakaunan yang serius dalam dapatan disatukan yang belum diaudit TGB bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2006, yang dibangkitkan oleh Deloitte & Touche (juruaudit TGB).

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup