SC Mendapatkan Sabitan Kesalahan terhadap Yap Kim Seng kerana Memalsukan Maklumat dalam Kes Pasaraya Hiong Kong

Kuala Lumpur, 16 Januari 2006

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mendapatkan sabitan kesalahan terhadap Yap Kim Seng, yang mengaku bersalah kerana mengemukakan maklumat palsu kepada SC yang berkaitan dengan Pasaraya Hiong Kong Sdn Bhd (PHK), di Mahkamah Sesyen 1 Kuala Lumpur.

Yap Kim Seng merupakan Pengarah Urusan PHK pada ketika itu. Pada 25 April 2005, Scmengenakan pertuduhan terhadap beliau dan Yap Kim Fatt (yang merupakan Pengarah Eksekutif PHK ketika itu) kerana mengemukakan maklumat palsu kepada SC, iaitu keuntungan PHK bagi tahun berakhir 31 Mac 2003, sebagaimana yang terkandung dalam Penyata Kewangan PHK bagi tahun berakhir 31 Mac 2003.

Kedua-dua tertuduh, sebagai pengarah PHK, didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 32B(1)(c)(aa) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA) yang dibaca bersama-sama dengan seksyen 138(2) SCA.

Maklumat palsu tersebut dikemukakan berkaitan dengan permohonan Ocean Capital Berhad kepada SC bagi cadangan pelaksanaan penstrukturan semula korporatnya, yang merangkumi cadangan pemerolehan PHK.

Berdasarkan fakta kes yang diakui oleh Yap Kim Seng, Penyata Kewangan PHK bagi tahun berakhir 31 Mac 2003 mengandungi jumlah jualan yang direka sebanyak RM7,786,665, yang memberikan kesan kepada peningkatan keuntungan sebelum cukai PHK kepada RM13,073,565. Sekiranya transaksi rekaan tersebut tidak dimasukkan dalam rekod perakaunan PHK, ia akan merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5,286,900. Ini akan menyebabkan PHK melaporkan keuntungan selepas cukai di bawah minimum RM8,000,000 yang diperlukan untuk disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Yap Kim Seng selepas mempertimbangkan potensi kerugian yang bakal dialami sekiranya cadangan penstrukturan semula tersebut dilaksanakan. Mahkamah berpendapat bahawa hukuman tersebut adalah perlu bagi mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap bursa saham dan menghalang kurangnya keyakinan orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan.

Berikutan penyabitan Yap Kim Seng, pertuduhan terhadap Yap Kim Fatt telah ditarik balik.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup