Pengerusi SC, Encik Ali Abdul Kadir berkata "saya amat gembira dengan respons yang kami terima dari pihak industri dan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak broker."
"Sehingga kini, sembilan buah syarikat broker saham telah mengadakan perjanjian kukuh bagi memperoleh atau bergabung dengan tiga syarikat broker lain, dan daripada jumlah ini, lima telah mengemukakan permohonan mereka bagi status Broker Universal," beliau berkata, dengan menambah bahawa permohonan ini kini di peringkat terakhir proses semakan.
Pelan Induk Pasaran Modal, yang dilancarkan pada bulan lepas di SC oleh Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin telah memuatkan cadangan bagi menggalakkan penggabungan industri broker saham dan memperkenalkan perantara yang mempunyai perkhidmatan penuh yang dikenali sebagai Broker Universal.
Encik Ali berkata, "Adalah sesuatu yang menggembirakan melihat pelaksanaan cadangan ini telah pun dijalankan dengan baik. Kami percaya bahawa ia adalah terus kritikal bagi syarikat broker saham untuk menjalankan penggabungan. Broker Universal akan berupaya untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan pasaran modal yang bersepadu dan mengembangkan rangkaian pengagihan mereka melalui kelonggaran dalam pembukaan cawangan bagi menghadapi cabaran persaingan di masa hadapan".
"Usaha-usaha ini akan memperkukuh peserta pasaran tempatan, dan sejajar dengan usaha SC untuk menghapuskan pensegmenan perkhidmatan pasaran modal sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Induk Pasaran Modal. Dalam jangka masa yang lebih panjang, kami berharap ini akan diteruskan hingga penghapusan pensegmenan dalam sistem kewangan, yang akan membolehkan perantara pasaran modal seperti Broker Universal untuk menjalankan pelbagai aktiviti bersepadu dalam sistem kewangan keseluruhannya" beliau menambah.
"Kami menjangkakan sembilan hingga sepuluh Broker Universal untuk bercantum pada akhir pelaksanaan penggabungan ini. Saya juga ingin menekankan bahawa bawah pelaksanaan penggabungan ini, semua syarikat broker saham dikehendaki sama ada mendapat status atau bercantum dengan sekurang-kurangnya sebuah syarikat broker saham, dan ini termasuk sama broker yang merupakan sebahagian daripada kumpulan perbankan yang juga memiliki bank saudagar.
"Pada pandangan saya, Bank Pelaburan, yang akan muncul kelak hasil daripada percantuman pihak broker dan bank-bank saudagar dalam kumpulan perbankan yang sama, akan melengkapi Broker Universal, yang mana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan daya saing perkhidmatan perantaraan di Malaysia. Ini akhirnya akan memberi manfaat kepada penerbit serta para pelabur" kata Encik Ali.
Sebagai tambahan kepada sembilan buah syarikat broker saham yang telah mengadakan perjanjian kukuh bagi memperoleh atau bergabung dengan tiga syarikat broker lain, sebuah syarikat broker saham telah mencadangkan untuk memperoleh dua buah syarikat broker saham lain sementara lapan buah syarikat broker saham telah mengenal pasti sekurang-kurangnya satu rakan percantuman atau pemerolehan.
Syarikat-syarikat broker saham ini berada di pelbagai peringkat dalam melaksanakan proses penggabungan masing-masing di mana enam syarikat broker saham telah ditukarkan kepada pejabat cawangan syarikat broker lain dan lima lagi permohonan bagi pertukaran kepada pejabat cawangan telah diluluskan oleh SC.
SC telah mengadakan perbincangan dengan 10 lagi syarikat broker saham yang telah menyatakan hasrat mereka untuk mengambil bahagian dalam proses penggabungan tersebut, walaupun mereka masih belum membuat sebarang pengumuman percantuman atau pemerolehan.
SC akan terus mengawasi secara dekat usaha penggabungan industri dan akan memberi pengemaskinian lanjut mengenai kemajuan yang dicapai.