SC Menganjurkan Program Bersama Pelabur di Sabah
6 Disember 2013   |   Kota Kinabalu

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menganjurkan jerayawara `Bersama SC’ dengan kerjasama pelbagai pihak industri dan agensi kerajaan. Program pendidikan pelabur selama tiga hari itu diadakan dari 6 hingga 8 Disember di Suria Sabah Mall, Kota Kinabalu.

Program mendekati pelabur `Bersama SC’ merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan pelabur berpengetahuan dalam pasaran modal dengan meningkatkan kesedaran mereka mengenai pelbagai jenis produk pasaran modal yang sedia ada, di samping mendidik mereka mengenai hak dan tanggungjawab ketika melabur. Program ini disasarkan untuk mendekati 10,000 pelabur dan bakal pelabur di Sabah, yang mempunyai data pelabur yang semakin besar kerana populasinya yang muda dan mempunyai pelbagai etnik.

Sejumlah 24 peserta pameran, terdiri daripada penyedia perkhidmatan pasaran modal, institusi berkenaan dan entiti kerajaan persekutuan dan negeri, akan mengambil bahagian dalam inisiatif pendidikan pelabur tersebut. Orang ramai boleh melawat gerai pameran yang disediakan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelbagai jenis produk pelaburan yang ditawarkan oleh pasaran modal, termasuk dana unit amanah dan skim persaraan swasta (PRS).

Pegawai kanan dari SC, Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Pentadbir Pencen Swasta (PPA) akan turut memberikan ceramah yang berkaitan dengan pelaburan, termasuk pengenalan kepada PRS dan produk-produk pasaran modal patuh Syariah. Selain itu, seminar pengurusan wang `Bijak Mengurus Wang’ (B.M.W) akan dianjurkan oleh SIDC yang merupakan cabang latihan SC.

Pengerusi SC Datuk Ranjit Ajit Singh dan Menteri Pembangunan Luar bandar Sabah, Datuk Radin Malleh, telah merasmikan acara tersebut yang turut menyaksikan pelancaran aplikasi mudah alih SC yang pertama untuk pelabur. Aplikasi tersebut yang boleh dimuat turun secara percuma, bertujuan untuk menyediakan saluran berinovasi untuk pelabur mengesahkan kesahihan sesuatu produk pelaburan.

SC akan terus membabitkan diri dengan orang ramai dalam membina kesedaran yang lebih besar di kalangan mereka mengenai produk-produk pasaran modal dan hak-hak serta tanggungjawab pelabur. Pembabitan ini juga membolehkan SC mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dalam usahanya membina alat dan platform yang lebih baik bagi membantu melaksanakan peranannya dalam mengembangkan dan mengekalkan pasaran yang adil dan cekap.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup