SC mengeluarkan garis panduan bagi syarikat modal teroka untuk mendaftar bagi status peniaga terkecuali

Kuala Lumpur, 1 Ogos 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan satu set garis panduan untuk membantu syarikat modal teroka mendaftar dengan SC bagi status peniaga terkecuali.

Garis panduan bertajuk Guidelines for the Registration of Venture Capital Corporations and Venture Capital Management Corporations (Garis Panduan Pendaftaran) berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002. Garis panduan tersebut dan borang berkaitan boleh didapati di sini. Satu set jawapan kepada soalan lazim juga disediakan di tapak web tersebut sebagai rujukan berguna bagi syarikat modal teroka.

Mengikut Perintah Perindustrian Sekuriti (Peniaga Terkecuali) (No. 2) 2002, yang diwartakan pada 1 Ogos 2002, syarikat modal teroka layak mendapatkan status peniaga terkecuali, iaitu terkecuali daripada keperluan untuk memegang lesen peniaga bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Sehubungan dengan ini, semua syarikat modal teroka (VCC) dan syarikat pengurusan modal teroka (VCMC) yang didaftarkan dengan SC bawah Perintah tersebut akan diberikan status peniaga terkecuali, tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Berkaitan dengan VCC, pengecualian hanya diberikan kepada urus niaga dalam sekuriti tidak tersenarai; dan
  • Berkaitan dengan VCMC, pengecualian diberikan kepada urus niaganya dalam sekuriti tidak tersenarai dan sekuriti tersenarai yang diperoleh atau dilanggan sebelum sekuriti itu disenaraikan, termasuk apa-apa kepentingan berkaitan sekuriti itu, sehingga ia dilupuskan.

VCC/VCMC dikehendaki mengemukakan laporan berkala kepada SC. Pengumpulan maklumat dan statistik daripada laporan ini akan membantu SC dalam merumuskan keputusan dasar dan menilai kemajuan keseluruhan industri. Ini melengkapi peranan SC dalam pengesahan VCC bagi tujuan pengecualian pencukaian.

Pengenalan garis panduan ini sejajar dengan usaha SC untuk memudahcarakan perkembangan industri modal teroka agar dapat memenuhi keperluan pembiayaan syarikat pertumbuhan tinggi yang baru muncul dalam industri tambah nilai dengan berkesan, melalui peruntukan modal risiko, sebagaimana yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pasaran Modal (CMP).

Dalam merumus Garis Panduan Pendaftaran, SC telah mengambil kira pandangan, komen dan cadangan yang diberikan oleh Persatuan Modal Teroka Malaysia (MVCA), dan para pengamal dan profesional dari industri modal teroka untuk memastikan proses pelaksanaan yang lancar.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup