Bawah Perintah Cukai 2009, syarikat modal teroka (VCC) yang berdaftar dengan SC adalah layak untuk pengecualian cukai bagi lima tahun taksiran cukai tertakluk kepada mereka melabur sekurang-kurangnya 30% daripada dana terlabur mereka dalam bentuk modal semai, permulaan dan/atau pembiayaan peringkat awal dalam syarikat-syarikat pelaburan yang layak. Permohonan bagi pengecualian ini mestilah diserahkan kepada SC pada atau sebelum 31 Disember 2013.
Insentif pengecualian cukai yang baru dah lebih menarik ini menjadi tambahan kepada insentif sedia ada, yang mana VCC berdaftar dengan SC layak mendapat pengecualian cukai bagi tempoh 10 tahun taksiran sekiranya mereka melabur sama ada sekurang-kurangnya 70% daripada dana terlabur mereka dalam bentuk modal semai, permulaan dan/atau pembiayaan peringkat awal atau sekurang-kurangnya 50% daripada dana terlabur mereka dalam bentuk modal semai ke dalam syarikat-syarikat pelaburan yang layak.
Selain insentif cukai dalam bentuk pengecualian cukai bagi VCC yang berdaftar dengan SC, kerangka cukai modal teroka yang sedia ada turut menyediakan pemotongan cukai bagi jumlah yang sama dengan nilai pelaburan yang dibuat oleh individu atau syarikat dalam syarikat pelaburan yang layak.
Syarikat pengurusan modal teroka (VCMC) yang berdaftar dengan SC juga boleh menikmati pengecualian cukai ke atas pendapatan yang diperoleh daripada perjanjian perkongsian keuntungan antara VCMC dan VCC. Bagaimanapun, VCMC perlu mendapat pengesahan daripada SC dengan syarat VCC yang berada bawah perjanjian perkongsian keuntungan itu berdaftar dengan SC dan telah mendapat pengesahan bagi pengecualian cukai daripada SC.
Pemohon bagi insentif cukai tersebut dinasihati supaya membaca dan memahami kandungan Garis Panduan Insentif Cukai VC sebelum menyerahkan mengemukakan sebarang permohonan bagi pengesahan kepada SC. Garis Panduan Insentif Cukai VC dan borang permohonan boleh didapati di sini.