SC mengeluarkan Kertas Respons Awam mengenai cadangan kerangka Penjanaan Dana Masyarakat bagi Ekuiti
25 September 2014   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan kertas respons awam mengenai cadangan kerangka Penjanaan Dana Masyarakat bagi Ekuiti (ECF).

Satu kertas perundingan mengenai ECF telah dikeluarkan oleh SC pada 21 Ogos 2014. Sejak itu, SC menerima banyak komen dan maklum balas daripada, di antaranya, bakal pengelola Penjanaan Dana Masyarakat bagi Ekuiti, usahawan, firma modal teroka, institusi kewangan dan orang ramai. SC telah mengkaji komen-komen dan maklum balas tersebut dan membuat pengubahsuaian ke atas cadangan kerangka tersebut.

Dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran mengenai pembiayaan berasaskan pasaran yang inovatif ini, SC telah menganjurkan Forum Synergi & Penjanaan Dana Masyarakat bagi Ekuiti yang dihadiri oleh lebih 600 peserta. Pemimpin pemikir dalam industri Penjanaan Dana Masyarakat bagi Ekuiti global, termasuk Jason Best, yang turut bersama-sama membina rangka kerja kawal selia Penjanaan Dana Masyarakat bagi Ekuiti ekuiti Amerika Syarikat, berkongsi pandangan dengan penonton mengenai pembangunan saluran pembiayaan alternatif ini.

Ciri-ciri penting rangka kerja ini adalah -

Penerbit

• Semua syarikat persendirian yang ditubuhkan secara tempatan (selain syarikat persendirian yang dikecualikan) adalah layak untuk menyertai ECF dengan menerbitkan saham-saham biasa dan saham-saham keutamaan kepada orang ramai.
• Seseorang penerbit dibenarkan mengumpulkan sehingga RM3 juta bagi tempoh 12 bulan dan sejumlah maksimum RM5 juta melalui platform tersebut.
• Mikrodana yang berdaftar dengan SC sebagai firma modal teroka dan mempunyai pelan perniagaan yang telah dikenal pasti turut dibenarkan menyertai platform ECF. Tiada had penjanaan dana yang dikenakan ke atas mikrodana tetapi ia hanya dibenarkan untuk disasarkan kepada pelabur sofistikated.

Pelabur

• Pelabur runcit, sofistikated dan pelabur tidak formal dibenarkan melabur dalam syarikat-syarikat yang dihoskan pada platform ECF, tertakluk kepada had pelaburan yang ditetapkan oleh SC.
• Penerbit dikehendaki untuk memfailkan dokumen pendedahan seragam dengan operator ECF yang menyediakan, antara lain, maklumat penting mengenai penerbit, penawaran dan jumlah yang akan dijana.
• Para pelabur akan diberikan tempoh bertenang selama enam hari yang mana dalam tempoh itu mereka boleh menarik balik pelaburan mereka.
• Jika terdapat perubahan negatif yang mempengaruhi projek atau penerbit, pelabur juga diberi tempoh 14 hari untuk menarik diri daripada pelaburan tersebut.
• Dana yang dilaburkan akan disimpan oleh pengendali ECF dalam satu akaun amanah dan hanya akan dikeluarkan kepada penerbit selepas syarat-syarat tertentu dipenuhi.

Kedua-dua kertas perundingan dan kertas respons boleh didapati di laman web SC di www.sc.com.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup