Penambahan tersebut yang akan berkuat kuasa pada 1 November 2012, adalah ekoran daripada Kertas Perundingan mengenai perkara tersebut yang dikeluarkan pada 2010. SC telah menerima maklum balas positif terhadap Kertas Perundingan tersebut dengan beberapa respons mengenai pertimbangan pelaksanaannya. Sejak itu, SC telah bekerjasama dengan mereka yang berkepentingan bagi memastikan penambahan keperluan akan dilaksanakan dengan lancar. Peningkatan keperluan tersebut akan menyediakan nasihat yang lebih jelas dan menyeluruh kepada pemegang saham, tertakluk kepada tawaran pengambilalihan, bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang berasaskan maklumat.
Di bawah Nota Amalan tersebut, para penasihat dikehendaki mempertimbangkan “adil dan munasabah” sebagai dua istilah berasingan dalam membuat cadangan terhadap sesuatu tawaran. Untuk sesuatu tawaran dianggap ‘adil’, harga tawaran mestilah sekurang-kurangnya sama atau lebih besar daripada nilai sekuriti yang terbabit dalam tawaran pengambilalihan tersebut. Penasihat perlu juga mengambil kira semua faktor yang relevan dalam menilai sama ada sesuatu tawaran itu ‘munasabah’ termasuk keupayaan pihak yang membuat tawaran untuk membuat resolusi khas, kecairan sekuriti penerima tawaran, dan pertimbangan kualitatif yang lain. Tanpa pergandingan kedua-dua istilah ini akan memastikan pekeliling nasihat bebas lebih mudah difahami, telus dan memberikan asas yang jelas bagi mewajarkan sesuatu cadangan.
Nota Amalan juga memerlukan penasihat memilih kaedah penilaian yang paling sesuai untuk sekuriti yang berkenaan dan menyediakan panduan terhadap pelbagai jenis kaedah penilaian yang mungkin dipertimbangkan. Penasihat juga dikehendaki supaya menyatakan pendapat mereka berasaskan andaian yang munasabah, menzahirkan semua andaian penting yang dijadikan asas dalam membuat sesuatu cadangan dan memastikan mereka mempunyai asas yang munasabah untuk menyandarkan maklumat yang digunakan dalam membentuk sesuatu pandangan dalam tawaran tersebut.
Kertas Maklum Balas Awam dan Kertas Perundingan tersebut, bersama-sama maklumat lanjut mengenai Nota Amalan yang diperkembangkan itu boleh diperoleh di
www.sc.com.my.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA