SC Mengenakan Celaan Awam terhadap Hwa Tai Industries Berhad kerana Ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prospektus bagi Pelaksanaan Terbitan Hak dengan Waran

Penalti Monetari Dikenakan Terhadap Pengarah

Kuala Lumpur, 15 September 2006

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengenakan celaan awam terhadap Hwa Tai Industries Berhad (Hwa Tai) dan mengenakan penalti monetari terhadap pengarahnya yang bertanggungjawab ketika itu kerana kegagalan melaksanakan perenggan 6.02 Garis Panduan Prospektus–Prospektus Ringkas (Garis Panduan Prospektus Ringkas).

Perenggan 6.02 Garis Panduan Prospektus Ringkas yang dikeluarkan oleh SC menghendaki syarikat memperuntukkan kesemua lebihan saham terbitan hak "atas dasar adil dan saksama".

Dalam pelaksanaan Terbitan Hak dengan Waran Hwa Tai yang dijalankan pada bulan April 2004, terdapat 1,494 pemohon bagi lebihan 2,273,297 saham terbitan hak. Lebihan saham terbitan hak tersebut tidak diperuntukkan di kalangan pemohon tersebut "atas dasar adil dan saksama" seperti yang dikehendaki di bawah perenggan 6.02 Garis Panduan Prospektus Ringkas, malah Lembaga Pengarah Hwa Tai memutuskan untuk memperuntukkan 2,270,037 lebihan saham terbitan hak kepada Soo Thien Ming. Beliau merupakan pemegang saham tunggal terbesar dan juga merupakan pengerusi dan pengarah bukan eksekutif bukan bebas Hwa Tai. Peruntukan sedemikian telah menyebabkan seorang pemegang saham tunggal diperuntukkan dengan hampir keseluruhan lebihan saham terbitan hak.

Memandangkan betapa seriusnya kegagalan para pengarah untuk melaksanakan tugas mereka bagi memastikan layanan adil dan saksama kepada semua pemegang saham yang memohon bagi lebihan saham terbitan hak tersebut, seperti yang dikehendaki di bawah perenggan 6.02 Garis Panduan Prospektus Ringkas, SC mengenakan penalti sebanyak RM200,000 terhadap Soo Thien Ming manakala pengarah lain dikenakan penalti masing-masing sebanyak RM50,000. Pengarah lain ialah Lee Kah Keng, Loh Poh Im, Lee Thye, Soo Suat Swon, Raja Zainal Abidin bin Raja Hussin dan Tan Sri Dato' Mohamed Yusoff bin Mohamed.

SC menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pengarah syarikat awam tersenarai untuk mengekalkan standard tatalaku korporat tertinggi dan mematuhi semua undang-undang dan keperluan berkenaan dengan penzahiran. Sehubungan dengan ini, mereka mesti melaksanakan kuasa mereka dengan adil dan memperuntukkan semua hak tertentu para pemegang saham.

Semua pengarah juga mesti memastikan pada setiap masa bahawa tugas fidusiari mereka dilaksanakan secara bertanggungjawab dan profesional dengan standard ketelitian, kemahiran dan ketekunan yang tinggi. Mereka mesti bertindak dengan kepercayaan yang baik dan mengelakkan situasi konflik kepentingan yang berpotensi.

Tambahan lagi, pengarah bebas memainkan peranan penting dalam memberikan pandangan yang seimbang dan bebas kepada lembaga pengarah, memimpin dalam situasi berpotensi berlakunya konflik kepentingan. Dalam menjalankan tugas mereka, pengarah bebas juga mesti menilai urus niaga dan cadangan secara objektif dan menyuarakan bantahan mereka, sekiranya ada, bagi memastikan keputusan lembaga pengarah tidak memberikan kesan buruk kepada syarikat dan pemegang saham.

Peranan lembaga pengarah adalah penting bagi memastikan integriti pasaran dan keyakinan pelabur yang berterusan dalam pasaran modal.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup