SC Mengenakan Celaan dan Mendenda Deloitte RM2.2 Juta
30 Januari 2019   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan celaan dan penalti ke atas Deloitte PLT (Deloitte) bagi empat pelanggaran yang berkaitan dengan Program Sukuk Murabahah sebanyak RM2.4 bilion yang diterbitkan oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) pada 2014.

Deloitte merupakan juruaudit berkanun bagi BMSB dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) bagi tahun kewangan mereka yang berakhir pada 31 Mac 2015 hingga 2016. 1MDB RE, yang kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd, merupakan salah satu penyedia sekuriti pihak ketiga bagi Progamme Sukuk Murabahah dan syarikat induk BMSB. 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan syarikat induk 1MDB RE dan BMSB.

Deloitte didapati telah melakukan dua pelanggaran di bawah seksyen 276(3)(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana gagal melaporkan kepada SC dengan segera luar aturan yang mungkin mempunyai kesan material ke atas kemampuan BMSB memenuhi kewajipannya untuk membayar balik kepada pemegang sukuk apa-apa amaun di bawah Program Sukuk Murabahah tersebut.

SC mendapati pelanggaran yang dilakukan oleh Deloitte adalah serius, kerana ia telah gagal menunaikan kewajipan berkanunnya walaupun telah memasukkan perkara berikut ke dalam Penyata Kewangan Teraudit (AFS) BMSB dan 1MDB:
  1. Kelayakan Audit dalam Laporan Juruaudit Bebas bagi 1MDB RE untuk AFS, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 (AFS 2015) dan 31 Mac 2016 (AFS 2016);
  2. Penekanan Perkara Penting dalam Laporan Juruaudit Bebas bagi AFS 2015 dan AFS 2016 BMSB; dan
  3. Penekanan Perkara Penting dalam Laporan Juruaudit Bebas bagi AFS 2015 dan AFS 2016 1MDB RE.
Kelayakan Audit dalam Laporan Juruaudit Bebas Deloitte bagi 1MDB RE untuk AFS 2015 dan AFS 2016 menyatakan bahawa Deloitte tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi untuk menentukan sama ada pendahuluan kepada 1MDB, antara lain, daripada hasil Progamme Sukuk Murabahah tersebut boleh diperolehi semula.

Penekanan Perkara Penting dalam Laporan Juruaudit Bebas Deloitte untuk 1MDB RE untuk AFS 2015 dan AFS 2016 serta AFS 2015 dan AFS 2016 BMSB menyatakan bahawa 1MDB sedang disiasat oleh beberapa pihak berkuasa. Deloitte seterusnya menyatakan dalam laporannya bagi AFS 2015 dan AFS 2016 1MDB bahawa "siasatan ke atas 1MDB yang sedang dijalankan menunjukkan wujudnya ketidakpastian material yang boleh menimbulkan keraguan besar mengenai keupayaan Kumpulan dan Syarikat untuk kekal sebagai usaha berterusan".

SC mengenakan denda sebanyak RM2 juta atas pelanggaran tersebut, denda maksimum yang diperuntukkan di bawah seksyen 354(3)(b) CMSA.

Berkenaan dua pelanggaran di bawah seksyen 276(1) CMSA, Deloitte telah didenda sebanyak RM200,000 kerana kegagalannya menghantar satu salinan AFS 2015 dan 2016 BFSB kepada MTrustee Berhad, dalam tempoh tujuh hari selepas mengemukakan AFS 2015 dan 2016 kepada BMSB.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup