SC Mengenakan Pertuduhan Terhadap Bay Put Hai kerana Menjalankan Pasaran Niaga Hadapan tidak Sah

Kuala Lumpur, 16 Februari 2006

Suruhanjaya Sekuriti (SC), setelah mendapat persetujuan daripada Pejabat Peguam Negara, hari ini mengenakan pertuduhan terhadap Bay Put Hai di Mahkamah Sesyen 1 Kuala Lumpur, salah satu mahkamah yang dikhaskan bagi kesalahan berkaitan pasaran modal, kerana menjalankan pasaran niaga hadapan tidak sah.

Bay Put Hai, warganegara Singapura, dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 3(1) Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993 kerana menjalankan pasaran niaga hadapan yang bukan pasaran niaga hadapan sebuah syarikat bursa ataupun pasaran niaga hadapan yang dikecualikan.

Kesalahan tersebut dilakukan antara 2 Julai 2001 dan 7 Mac 2002 di Reinn Holdings Sdn Bhd, Tingkat 6, Menara Genesis, 33 Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

SC telah menyerbu syarikat tersebut pada 7 Mac 2002 setelah menerima aduan daripada beberapa individu yang telah kehilangan pelaburan mereka yang dibuat melalui Reinn Holdings Sdn Bhd.

Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 3(2) Akta yang sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya.

Mahkamah telah membenarkan Bay Put Hai diikat jamin sebanyak RM300,000 bersama seorang penjamin warga tempatan yang merupakan isterinya, warga Malaysia yang memegang status penduduk tetap di Singapura. Di samping itu, Bay Put Hai juga dikehendaki melaporkan diri kepada Ibu Pejabat Polis Johor Bahru sebulan sekali.

Bertindak atas waran penahanan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, SC telah bekerjasama dengan rakan sejawat antarabangsanya untuk menahan Bay Put Hai di Singapura.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup