SC Mengenakan Pertuduhan Terhadap Dua Lagi Pengarah GP Ocean

Dato' Lim Kim Ming dan Lim Kim Hai kerana Mengemukakan Maklumat Mengelirukan dalam Cadangan Penyenaraian GP Ocean

Kuala Lumpur, 22 Mei 2007

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengenakan pertuduhan terhadap Dato' Lim Kim Ming dan Lim Kim Hai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana mengemukakan maklumat mengelirukan kepada SC.

Dato' Lim Kim Ming, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GP Ocean Food Berhad (GP Ocean), dan Lim Kim Hai, Pengarah Eksekutif dan Pengarah Kewangan GP Ocean, dituduh kerana mengemukakan maklumat yang mengelirukan kepada SC berkaitan dengan cadangan GP Ocean untuk penyenaraian di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

GP Ocean mengemukakan cadangan penyenaraiannya kepada SC pada 23 Ogos 2005. Mereka kemudiannya meminda cadangan tersebut dan mengemukakannya semula kepada SC pada 15 Februari 2006.

Siasatan SC menunjukkan bahawa pengemukaan maklumat yang mengelirukan berkenaan dengan angka hasil bagi penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Januari 2006 yang berjumlah:

  • RM142,452,400 bagi Gropoint Fisheries Sdn Bhd dan RM38,009,652 bagi Gropoint Seafood Industries oleh Dato' Lim Kim Ming; dan
  • RM180,462,052 bagi GP Ocean oleh Lim Kim Hai.

Gropoint Fisheries Sdn Bhd dan Gropoint Seafood Industries Sdn Bhd merupakan anak syarikat GP Ocean.

Dato' Lim Kim Ming dan Lim Kim Hai dikenakan pertuduhan bagi kesalahan di bawah seksyen 32B(1)(a)(aa) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA) yang dibaca secara bersama dengan seksyen 138(2) SCA.

Semua pihak terbabit dikehendaki mengemukakan hujah berkenaan dengan perbicaraan bersama pada 29 Mei 2007.

Kesalahan oleh pihak yang tertuduh tersebut boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen 32B(4) SCA dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum sebanyak RM3 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh perbicaraan kerana menunggu keputusan pengemukaan hujah perbicaraan bersama pada 29 Mei 2007. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Dengan pendakwaan terkini ini, SC sehingga kini telah mengenakan pertuduhan terhadap empat pengarah GP Ocean termasuk syarikat itu sendiri. Dua pengarah lain, Tan Siok Wan dan Lee Sin Teck, dikenakan pertuduhan pada 18 April 2007 sementara syarikat itu dikenakan pertuduhan pada 8 Mei 2007.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup