SC Mengenakan Pertuduhan Terhadap Dua Orang Bekas Pengarah Silver Bird Group Berhad
11 September 2013   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan ke atas dua orang bekas pengarah Silver Bird Group Berhad (Silver Bird), pengilang dan pengagih produk kek dan manisan, kerana mengemukakan maklumat palsu kepada Bursa Malaysia Securities antara tahun 2010 dan 2011.

Dato’ Jackson Tan Han Kook, 59, dan Derec Ching Siew Cheong, 51, dikenakan pertuduhan masing-masing atas tujuh dan lapan kesalahan, kerana mengemukakan penyata palsu berkaitan dengan hasil Silver Bird oada tahun 2010 dan 2011, kepada Bursa Malaysia. Pertuduhan tersebut, di bawah seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, dibuat susulan penyiasatan SC berkaitan dengan penyata palsu yang terkandung dalam lapan akaun kewangan suku tahunan tidak teraudit Silver Bird bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2010 dan 2011.

Berikutan penemuan syarikat mengenai ketaknalaran kewangan, Silver Bird mengumumkan pada Februari 2012 bahawa syarikat akan menjadi penerbit tersenarai yang terkesan di bawah Nota Amalan 17 Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia. Sejurus selepas itu, syarikat tersebut telah memecat kedua-dua Tan dan Ching daripada lembaga pengarahnya.

Tan dan Ching dibenarkan ikat jamin masing-masing sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin setiap seorang oleh Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Murtazadi Amran dan dikehendaki menyerahkan passport mereka kepada mahkamah. Pertuduhan tersebut telah ditetapkan sebagai pengurusan kes pada 24 Oktober 2013.

Jika sabit kesalahan, Tan dan Ching boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi tiga juta ringgit.

SC memandang penzahiran yang tepat berkaitan dengan hal ehwal kewangan syarikat awam tersenarai sebagai perkara asas bagi memastikan kepercayaan dan keyakinan dalam pasaran modal. Ia tidak teragak-agak untuk terus mengambil tindakan penguatkuasaan bagi mana-mana pelanggaran undang-undang seperti ini. Di sepanjang lima tahun yang lalu, SC telah berjaya mendakwa lapan orang pengarah syarikat awam tersenarai bagi pelanggaran undang-undang yang sama.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup