SC Mengenakan Pertuduhan terhadap Philip Wong Chee Kheong, Ivan Ng Chong Yeng dan Francis Bun Lit Chun kerana Memanipulasi Saham Suremax

Kuala Lumpur, 25 Oktober 2005

Suruhanjaya Sekuriti (SC), setelah mendapat persetujuan daripada Pejabat Peguam Negara, hari ini mengenakan pertuduhan terhadap Philip Wong Chee Kheong, Ivan Ng Chong Yeng dan Francis Bun Lit Chun di Mahkamah Sesyen 1 Kuala Lumpur, salah satu mahkamah yang dikhususkan bagi kesalahan pasaran modal, kerana memanipulasi saham Suremax Group Berhad (Suremax).

Ketiga-tiga yang dituduh dikenakan pertuduhan kerana mewujudkan gambaran yang mengelirukan berkenaan dengan harga saham Suremax dengan melaksanakan transaksi belian dan jualan dalam 153 akaun di 12 buah syarikat broker saham, yang merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 84(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) yang dibaca bersama dengan seksyen 34 dan seksyen 40 Kanun Keseksaan.

Mereka juga dikenakan pertuduhan alternatif kerana mewujudkan gambaran mengelirukan mengenai dagangan aktif saham Suremax dengan menggunakan 153 akaun, tanpa sebarang perubahan dalam pemilikan benefisial saham tersebut, satu kesalahan di bawah sekseyn 84(1) SIA yang dibaca bersama dengan seksyen 34 dan seksyen 40 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 88B SIA dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM1 juta dan hukuman penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun.

Permohonan oleh peguam bela bagi Philip Wong dibebaskan dengan jaminan telah dibantah atas alasan bahawa:

  • Phillip Wong sebelum ini tidak dapat dikesan oleh SC ketika proses penyiasatan. Dia akhirnya dikesan pada 21 September 2005 dengan bantuan Polis Diraja Malaysia; dan
  • Dia telah berhubung dengan saksi-saksi dalam kes tersebut yang berasa terancam/terganggu.

Selepas Afidavit Jawapan oleh Philip Wong dikemukakan kepada Mahkamah, pihak Mahkamah telah membebaskan Philip Wong dengan jaminan sebanyak RM600,000 oleh dua orang penjamin warga tempatan dan semua dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah telah membebaskan Ivan Ng dan Francis Bun dengan jaminan, masing-masing sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin dan semua dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah telah menetapkan perbicaraan bagi kes tersebut pada 4-8 dan 14-18 Ogos dan 18-22 September, dan 9-13 Oktober 2006. Timbalan Pendakwa Raya Abang Iskandar Abang Hashim dan Roz Mawar Rozain mewakili pihak pendakwaan.

SC telah membawa sebilangan kes sebelum ini yang berkaitan dengan manipulasi pasaran, setelah menjalankan penyiasatan dengan segera ke atas kes-kes tersebut. Antara kes-kes tersebut termasuk:

  • Chin Chan Leong & Joanne Hiew (Fountain View) - dikenakan pertuduhan pada tahun 2005, kes sedang berjalan
  • Puniyamurthi a/ Perianan (Actacorp) - dikenakan pertuduhan pada tahun 2002; dijatuhkan hukuman pada tahun 2003
  • Rafique Mohd Ibrahim & Ariffin Abdul Majid (Actacorp) - dikenakan pertuduhan pada tahun 2002; kes sedang berjalan
  • Tan Soon Geok & Esmail Naziadin (Gensoil) - dikenakan pertuduhan pada tahun 2002; kes sedang berjalan
  • Low Thiam Hock (Repco) - dikenakan pertuduhan pada tahun 1999; kes sedang berjalan

Kes-kes manipulasi pasaran biasanya agak rumit untuk disiasat dan sukar untuk didakwa, dan hanya beberapa bidang kuasa sahaja yang telah berjaya dalam bidang ini.

Pengawasan pasaran modal oleh SC termasuk proses kawal selia, pengawasan dan penguatkuasaan, dan apabila terdapat bukti yang cukup daripada penyiasatan, tindakan sewajarnya akan diambil. Semua peserta pasaran juga mempunyai peranan penting dalam mengekalkan integriti pasaran.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup