SC Mengenakan Pertuduhan Terhadap Tiga Individu atas Dagangan Orang Dalam Saham PacificMas Bhd
29 Mac 2014   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa tiga individu bagi kesalahan dagangan orang dalam di bawah seksyen 188 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Ewe Lay Peng, 45, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan satu tuduhan menyampaikan maklumat bukan awam antara 10 Disember 2007 ke 31 Disember 2007 kepada Lim Bun Hwa, 41.

Lay Peng dan Bun Hwa merupakan Pengurus Kanan di Jabatan Kewangan Korporat CIMB Investment Bank Bhd pada ketika itu. Lima tuduhan juga dikenakan terhadap abang Bun Hwa, Lim Boon Cheng, 47, atas sebab memperolehi 145,000 unit saham PacificMas Bhd (PasificMas) antara 18 Disember 2007 ke 31 Disember 2007, ketika memiliki maklumat bukan awam. Bun Hwa dituduh bersubahat dengan Boon Cheng dalam melakukan kesalahan tersebut.

SC mendakwa maklumat material bukan awam yang dirujuk dalam tuduhan tersebut berkaitan dengan tawaran pengambilalihan bersyarat yang dicadangkan oleh OSPL Holdings Sdn Bhd (OHSB) untuk memperoleh kesemua saham mengundi dalam PacificMas yang belum dimiliki oleh OHSB. Tawaran pengambilalihan yang dicadangkan telah diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 4 Januari 2008.

Pertuduhan terhadap Boon Cheng, Bun Hwa dan Lay Peng telah dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Azman Ahmad. Ketiga-tiga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing terhadap mereka.

Boon Cheng dibenarkan ikat jamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin, manakala Bun Hwa dan Lay Peng masing-masing diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah turut memberi arahan untuk menyerahkan pasport mereka.

Kesalahan membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup