SC mengingatkan syarikat awam tersenarai - penyata kewangan mesti mematuhi piawaian perakaunan yang diluluskan

Kuala Lumpur, 16 April 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengingatkan syarikat awam tersenarai (PLCs) mengenai tanggungjawab perundangan mereka untuk mematuhi piawaian perakaunan yang diluluskan dalam penyediaan dan pengemukaan penyata kewangan.

Di bawah Peraturan Perindustrian Sekuriti (Pematuhan kepada Piawaian Perakaunan yang Diluluskan) 1999, setiap syarikat tersenarai, para pengarah dan ketua eksekutifnya hendaklah menyediakan dan mengemukakan penyata kewangan syarikat mengikut piawaian perakaunan yang diluluskan bagi tempoh kewangan berakhir pada atau selepas 30 Jun 1999.

Peringatan ini diberikan berikutan kajian oleh SC ke atas penyata kewangan 100 buah syarikat bagi tahun-tahun kewangan berakhir 1998 dan 1999 mengenai pematuhan kepada Piawaian Perakaunan Antarabangsa - IAS 7 (Penyata Aliran Tunai). Dalam kajian tersebut, SC memberi tumpuan kepada pematuhan IAS 7 berdasarkan bahawa penyata aliran tunai merupakan kaedah penting bagi menilai kekukuhan kewangan sesuatu perniagaan. Aliran tunai adalah elemen penting sesuatu perniagaan kerana ia menentukan kecairan dan kewujudan jangka panjang perniagaan tersebut.

Melalui kajian tersebut, SC bertujuan mewujudkan kesedaran di kalangan PLCs akan perlunya pematuhan kepada piawaian perakaunan yang diluluskan di dalam penyediaan penyata kewangan mereka. Dengan kesedaran ini, adalah diharapkan bahawa PLCs akan dapat menangani kelemahan di dalam menyediakan penyata kewangan mereka yang berikutnya sejajar dengan keperluan piawaian perakaunan yang diluluskan.

Hasil kajian ke atas IAS 7 menunjukkan beberapa kelemahan umum, diantaranya, perkara-perkara berikut:

Pelarasan urus niaga bukan tunai
Dalam menggunakan kaedah tidak langsung, perenggan 18(b) IAS 7 mengkehendaki pelarasan urus niaga bukan tunai kepada keuntungan bersih atau kerugian dalam penyata aliran tunai. Butiran bukan tunai yang tidak diselaraskan termasuk peruntukan hutang ragu, peruntukan stok lembab dan pelbagai peruntukan yang dicajkan atau dikreditkan kepada penyata pendapatan.
Daripada kajian tersebut, 6% syarikat yang dikaji harus dipuji kerana menggunakan kaedah langsung dalam membentangkan aliran tunai daripada aktiviti operasi, seperti yang digalakkan oleh perenggan 19 IAS 7. Dalam menggunakan kaedah ini syarikat tidak dikehendaki untuk mengenal pasti dan membuat pelarasan butiran bukan tunai.
Penzahiran dasar perakaunan bagi menentukan komponen tunai dan tunai setara
Syarikat pada kebiasaannya tidak menzahirkan dengan lengkap atau gagal menzahirkan dasar perakaunan bagi menentukan komponen tunai dan setara tunai. Amalan ini tidak memenuhi kehendak perenggan 46 IAS 7.
SC juga mendapati beberapa syarikat telah mengambil kira pinjaman seperti kredit pusingan, pinjaman jangka pendek dan berjangka, yang biasanya dianggap sebagai aktiviti pembiayaan mengikut kehendak IAS 7, sebagai komponen tunai dan setara tunai.
Pembentangan faedah yang dibayar dan diterima
Faedah yang dibayar dan diterima tidak dibentangkan secara berasingan dan konsisten dalam penyata aliran tunai sama ada sebagai aktiviti operasi, pelaburan atau pembiayaan, sebagaimana yang dikehendaki oleh IAS 7. Beberapa syarikat yang didapati mempermodalkan faedah juga gagal untuk menzahirkannya sebagai faedah yang dibayar dalam penyata aliran tunai.
Klasifikasi urus niaga aliran tunai
SC mendapati syarikat kerap melakukan kesilapan dalam mengklasifikasikan butiran aliran tunai. Beberapa syarikat didapati tidak mengklasifikasikan urus niaga aliran tunai mereka mengikut dasar dagangan dan dasar bukan dagangan. Pengkelasan ini juga hendaklah dilakukan mengikut tujuannya iaitu sama ada sebagai aktiviti operasi, pelaburan atau pembiayaan, sepertimana yang dikehendaki oleh IAS 7.
Pengenalpastian aset dan liabiliti subsidiari yang diperoleh atau dijual
Syarikat juga mempunyai kecenderungan untuk tidak mengenal pasti atau menzahirkan secara lengkap aset dan liabiliti subsidiari yang dibeli/dijual.
Pembentangan perbezaan tukaran asing yang terhasil daripada terjemahan subsidiari asing
Kebanyakan syarikat yang mempunyai subsidiari asing tidak membentangkan perbezaan pertukaran daripada terjemahan subsidiari asing daripada aktiviti operasi, pelaburan dan pembiayaan secara berasingan, sebagaimana yang dikehendakioleh IAS 7.
Pembentangan aktiviti pelaburan dan pembiayaan
Satu lagi ketidakpatuhan yang didapati ialah pembentangan aktiviti pelaburan dan pembiayaan sebagai jumlah bersih. Amalan ini tidak menepati kehendak IAS 7 yang memerlukan pembentangan aktiviti-aktiviti tersebut sebagai jumlah kasar.

Hasil daripada kepelbagaian amalan pelaporan, SC juga mendapati beberapa peruntukan dalam IAS 7 yang memberi penafsiran yang berbeza-beza. Penafsiran yang berbeza-beza ini memburukkan lagi isu-isu ketidakpatuhan dan perlu ditangani bagi menjamin aplikasi dan pembentangan penyata aliran tunai yang konsisten dan seragam, bagi memudahkan perbandingan.

SC telah dan akan terus memaklumkan hasil kajiannya kepada syarikat yang mempunyai kelemahan yang ketara. Syarikat berkenaan mengakui tentang perlunya penyata aliran tunai mereka diperbaiki dan seterusnya mengambil langkah untuk memastikan semua aspek piawaian perakaunan yang diluluskan dipatuhi sepenuhnya dalam pembentangan penyata kewangan berikutnya.

SC, bagi pihaknya, akan terus mengawasi syarikat-syarikat ini. Sekiranya tiada tindakan pembetulan dilakukan, SC akan mengambil langkah pengawalseliaan tambahan, termasuklah mengambil tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian.

Adalah penting bagi penyedia penyata kewangan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih tekun dan memainkan peranan yang aktif sebagai konstituen utama dalam sistem pengawalseliaan berteraskan penzahiran (DBR), di mana peningkatan dalam ketelusan, akauntabiliti dan perbandingan penyata kewangan menjadi perkara utama. Bagi memenuhi tujuan ini, SC ingin melihat peningkatan dalam kualiti penzahiran dalam penyata kewangan oleh PLCs.

Dalam menangani perkara di atas, SC juga akan bekerjasama dengan pihak industri seperti Persekutuan Syarikat Awam Tersenarai (FPLC), Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) bagi meningkatkan tahap pematuhan dan pemahaman ke atas piawaian perakaunan Malaysia.

Sebagai penjelasan, penyata kewangan bagi tempoh berakhir 30 Jun 2000 perlu mematuhi piawaian yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia termasuklah MASB 5, yang menggantikan IAS 7 di mana MASB 5 adalah konsisten dalam segala aspek yang matan dengan IAS 7. SC kini sedang menjalankan satu kajian ke atas tahap pematuhan kepada MASB 1 - Pembentangan Penyata Kewangan dan MASB 5 - Penyata Aliran Tunai.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup