SC Menjangka akan Selesai Memproses Kesemua Permohonan Memperoleh Semula Saham Menjelang Hujung Tahun

Kuala Lumpur, 1 November 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjangka kerja-kerja memproses kesemua permohonan memperoleh semula saham yang diterima semasa tempoh 1 Disember 1998 ke 1 Jun 1999 akan diselesaikan menjelang hujung tahun ini. Ini dapat dicapai kerana kesemua permohonan sedang diproses di peringkat akhir.

Semasa tempoh dari 1 Disember 1998 ke 1 Jun 1999, SC menerima sejumlah 43,502 permohonan yang melibatkan 200,000 skrip saham bagi 600 juta unit saham. Enam ratus juta unit saham tersebut merupakan 60% daripada 1 bilion unit saham pertama yang telah dipindahkan kepada hak penjagaan sah Menteri Kewangan pada permulaannya.

Seksyen 29 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) (Pindaan) (No.2) 1998 memerlukan pelabur mendeposit skrip mereka ke dalam Depositori Pusat Malaysia (MCD) menjelang 1 Disember 1998, dan mereka yang gagal berbuat demikian telah memohon melalui SC yang telah diberi kuasa di bawah undang-undang untuk menerima permohonan memperoleh semula saham bagi tempoh 6 bulan iaitu dari 1 Disember 1998 hingga 1 Jun 1999.

Sehingga kini, maklumat kritikal tentang kesemua permohonan telah dimasukkan ke dalam sistem elektronik pangkalan data yang dicipta khas - Sistem Memperoleh Semula Saham (SRS). Kesemua sijil saham telah dikumpulkan (iaitu disusun menurut kaunter stok) dan dihantar kepada syarikat-syarikat pendaftar saham masing-masing oleh Unit Memperoleh Semula Saham (SRU). Syarikat-syarikat pendaftar saham telah memberi maklumbalas beserta notis yang mengesahkan kesahihan hampir 90% daripada anggaran 200,000 sijil saham yang dikemukakan.

SC telah mengeluarkan permohonan pembayaran bagi hampir 95% daripada permohonan. Walau bagaimanapun, SRU menganggarkan bahawa hanya setengah daripada pemohon telah kembali semula dengan pembayaran dan surat tanggung rugi.

Sebaik sahaja SC menerima pembayaran dan surat tanggung rugi daripada pemohon dan berpuas hati dengan semua dokumen dan maklumat yang diserahkan, permohonan tersebut akan diluluskan. Selepas itu, SRU akan mengarahkan MCD untuk memberi kredit ke akaun pemohon. Sehingga kini, MCD telah diarahkan supaya mengkredit saham bagi 15,303 atau 41% daripada permohonan yang diluluskan sementara 2, 550 yang lain adalah dalam proses diberikan kelulusan.

Daripada jumlah kesemua permohonan yang diterima oleh SRU, hampir 3,745 adalah tidak lengkap dan sedang dalam proses menanti dokumen daripada pemohon. SRU sedang berusaha giat meminta pemohon menyediakan dokumen yang secukupnya bagi memastikan supaya proses sepenuhnya dapat dilengkapkan.

Selain itu, kira-kira 2,000 permohonan telah ditutup atas sebab-sebab seperti penyerahan sijil saham syarikat tidak tersenarai atau syarikat tersenarai di bursa selain daripada Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL); stok pinjaman yang telah habis tempoh sebelum 1 Disember 1998 dan sijil saham yang didapati tidak sah oleh syarikat-syarikat pendaftar saham. Kesemua sijil saham yang sebegitu telah dikembalikan kepada pemohon masing-masing.

Di bawah Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, sebaik sahaja tempoh rayuan 6 bulan luput pada 1 Jun 1999, Menteri Kewangan boleh menurut budi bicara beliau mengendalikan saham tersebut yang mana tuntutan belum dibuat kepada SC menjelang 1 Jun 1999.

Kesemua permohonan yang diterima selepas tempoh akhir 1 Jun 1999 akan dikendalikan oleh Jabatan Akauntan Negara. Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Akauntan Negara di:

Jabatan Akauntan Negara (Pejabat Akauntan Negara)
Seksyen Pengurusan Sekuriti (Securities Management Section)
Tingkat 4, Blok 8
Kompleks Pejabat-pejabat Kerajaan
Jalan Duta, 50592 Kuala Lumpur
Tel: 03-651 7022 sam 1417

Orang ramai yang ingin memeriksa status permohonan dengan SC boleh berbuat demikian melalui:

Unit Memperoleh Semula Saham
Suruhanjaya Sekuriti
3 Persiaran Bukit Kiara
Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur

Tel: 03-654 8888

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diterbitkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Pihak media yang memerlukan bantuan, sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di tel. no. 03-654 8513 (Ann Teoh)/ 03- 654 8625 (Soh Beng Choo) atau faks no. 03- 651 5078



Maklumat latar belakang:

Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup