SC Meterai Perjanjian Kerjasama Fintech Bersama Pusat Kewangan Utama
14 September 2017   |   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menandatangani beberapa perjanjian kerjasama inovasi – atau `hubungan fintech’ – bersama beberapa pengawal selia di pusat-pusat kewangan utama, sebagai langkah untuk menggalakkan kerjasama dalam memudahcarakan dan mengawal selia inovasi dalam industri kewangan digital.
SC telah mewujudkan hubungan fintech bersama Hong Kong Securities and Futures Commission (SFC), Dubai Financial Services Authority (DFSA) dan Monetary Authority of Singapore (MAS). Ini merupakan susulan perjanjian pertama yang ditandatangani oleh SC dan Australian Securities and Investments Commission (ASIC) pada Jun 2017.

Hubungan fintech ini akan memudahcarakan lebih banyak perkongsian maklumat mengenai trend terkini dan perkembangan kawal selia. Ia juga akan memudahcarakan rujukan perniagaan inovatif yang ingin beroperasi dalam kalangan bidang kuasa terbabit dan pembabitan dalam projek inovasi bersama yang berpotensi. Inisiatif-inisiatif ini akan menentukan pendekatan kawal selia dan menggalakkan pertumbuhan kewangan digital di negara ini.

“Hubungan fintech bersama pasaran utama di Asia Pasifik dan Timur Tengah merupakan sebahagian daripada strategi digital SC, dan memanfaatkan hubungan erat sedia ada yang telah terjalin antara SC dan pengawal-pengawal selia tersebut. Inisiatif ini akan menggalakkan inovasi dalam pasaran modal, dan meningkatkan kefahaman meluas terhadap konsep kewangan digital yang akan memanfaatkan institusi perkhidmatan kewangan, perniagaan di peringkat permulaan dan pelabur,” kata Pengerusi SC Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Beliau menambah bahawa perjanjian kerjasama ini juga akan menentukan peraturan yang memudahcara dan terkini yang akan mengukuhkan pasaran Malaysia bagi fintech dan inovasi digital dalam pasaran modal.

Sumbangan ekonomi digital kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dijangka meningkat kepada 20% menjelang 2020. Sebagai sebahagian daripada agenda digital, SC merupakan bidang kuasa pertama di Asia Pasifik yang mengawal selia pendanaan ekuiti ramai (ECF) pada 2015, diikuti oleh peraturan pembiayaan antara rakan setara (P2P) pada 2016. Sehingga kini, platform pembiayaan berasaskan pasaran yang berdaftar secara terkumpul telah menjana sejumlah RM28 juta bagi 50 syarikat kecil dan sederhana (SKS) sejak beroperasi pada pertengahan 2016.

Beberapa tahun kebelakangan ini, SC juga telah memperkenalkan peraturan mengenai perkhidmatan pengurusan pelaburan digital (DIM), dan melancarkan inisiatif komuniti FINtech (aFINity) untuk menghubungkan komuniti teknologi kewangan yang semakin berkembang di Malaysia. SC juga akan mengadakan Persidangan Kewangan Digital SCxSC yang keempat pada 6 dan 7 November tahun ini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup