SC Nasihatkan Orang Ramai agar Berhati-hati dengan Aktiviti Tidak Berlesen yang Diiklankan di Akhbar, Internet

Kuala Lumpur, 8 Julai 2004

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin memberi amaran kepada orang ramai mengenai iklan di Internet dan media massa, oleh individu yang tidak berlesen yang mempromosikan aktiviti yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan pelaburan.

SC telah mendapati sejumlah iklan yang mempromosikan perkhidmatan yang berkaitan dengan nasihat pelaburan, pengurusan dana dan urus niaga sekuriti. Perkhidmatan ini adalah dikawal selia di bawah Akta Perindustrian Sekuriti (SIA) 1983, dan mereka yang menawarkan perkhidmatan sedemikian memerlukan lesen daripada SC.

Terdapat iklan-iklan yang mempelawa orang ramai untuk melanggan tip-tip pasaran saham dan membeli/menjual cadangan melalui khidmat pesanan ringkas ("sms") dan melalui komunikasi berkaitan Internet.

Dalam contoh khidmat sms, pelanggan dikehendaki membuat pembayaran (antara RM1-RM5) bagi setiap mesej yang diterima. Tip/cadangan yang sama juga disediakan dalam tapak-tapak web yang dimiliki oleh individu yang tidak berlesen atau dihantar terus kepada pelabur melalui e-mel. Pelabur adalah dinasihatkan bahawa perkhidmatan sedemikian yang disediakan oleh individu yang tidak berlesen adalah tidak sah dan tidak boleh dipercayai. Oleh itu, pelabur hendaklah menjauhkan diri daripada perkhidmatan tidak berlesen ini.

Terdapat juga iklan di akhbar dan Internet yang mempromosikan seminar yang memberikan cadangan pelaburan mengenai pasaran saham tempatan. Pelabur adalah diingatkan agar tidak bergantung kepada cadangan pelaburan yang dibuat oleh pihak yang tidak berlesen.

Terdapat juga iklan yang mempromosikan seminar yang berkaitan dengan dagangan opsyen. Sesetengah iklan ini menjanjikan pulangan tinggi atau terjamin sekiranya pelabur menggunakan strategi dagangan opsyen "yang telah terbukti" yang dipromosikan oleh penganjur seminar. Dakwaan sedemikian boleh mengelirukan kerana setiap pelaburan adalah disertai dengan beberapa tahap risiko. Pelabur adalah diingatkan agar berhati-hati terhadap dakwaan sedemkian dan janji bagi pulangan yang tinggi tanpa melibatkan risiko.

Beberapa seminar tersebut juga mencadangkan peserta supaya berurus niaga dalam pasaran asing melalui broker asing tertentu. SC ingin menekankan bahawa mengesyorkan broker asing adalah tertakluk dalam takrifan berurusan dalam sekuriti, dan hanya boleh dijalankan oleh peniaga berlesen. Apabila berurus niaga dalam pasaran asing, pelabur hendaklah mempertimbangkan perlindungan yang diperuntukkan kepada mereka oleh undang-undang di bidang kuasa negara asing ini. Pelabur juga hendaklah menyedari bahawa mereka adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang diguna pakai di bidang kuasa negara asing ini.

Oleh itu, orang ramai adalah dinasihatkan agar berhati-hati apabila bertindak balas dengan iklan yang dijelaskan di atas dan hanya melanggan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak yang berlesen.

Panduan bagi orang ramai

Orang ramai boleh mengesahkan senarai syarikat berlesen di tapak web SC di www.sc.com.my . Pelabur juga boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat SC di talian: 03-6204 8000/ no. faks: 03-6201 5078 / e-mel: [email protected] .

SC juga menggesa orang ramai melaporkan aktiviti yang berkemungkinan tidak berlesen. Pelabur boleh membuat laporan atau mengemukakan aduan kepada:

Jabatan Pengaduan,
Suruhanjaya Sekuriti,
3 Persiaran Bukit Kiara,
Bukit Kiara,
50490 Kuala Lumpur

Tel: 03-6204 8999
Faks: 03-6201 5078 E-mel: [email protected] .

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup