SC: Pasaran Modal Malaysia siap sedia bagi Pertumbuhan Mantap

Kuala Lumpur, 9 Mei 2002

Pasaran modal Malaysia bersiap sedia bagi pertumbuhan mantap berikutan beberapa dasar dan langkah signifikan mengenai pembangunan, penyusunan semula dan pengawalseliaan yang strategik, menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini berikutan pengumuman laporan tahunan 2001nya.

"Kemajuan yang kita lihat pada tahun 2001, dengan pengumuman Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) dan pelaksanaan cadangan-cadangannya, telah mewujudkan pra-syarat yang betul dan persekitaran yang memudahcarakan bagi pemulihan pasaran modal Malaysia yang kukuh dan mantap.

"Ia juga mencerminkan komitmen SC untuk mencapai sasaran CMP, "iaitu untuk menyediakan sebuah pasaran yang dinamik dan berdaya maju dalam persekitaran pengawalseliaan yang lebih memudahcarakan, serta kejelasan strategik mengenai wawasan dan objektif pasaran modal Malaysia", kata Pengerusi SC, Datuk Ali Abdul Kadir.

Beliau berkata, sehingga akhir tahun 2001, daripada 152 cadangan CMP, 14 cadangan utama telah dilaksanakan sepenuhnya, 24 telah dilaksanakan sebahagiannya dan 48 lagi sedang dilaksanakan.

Sehubungan dengan ini, kemajuan tertentu telah dibuat dalam memupuk persekitaran pasaran yang lebih kukuh dan lebih berdaya saing, terutamanya dalam hal penggabungan bursa, penggabungan broker saham, tadbir urus korporat dan pasaran bon korporat.

"Institusi pasaran di seluruh dunia beroperasi dalam persekitaran yang berdaya saing tinggi dan dinamik, dan terdapat peningkatan tekanan ke atas institusi pasaran untuk menguruskan operasi mereka dengan menggunakan cara yang boleh mencapai kecekapan skala dan skop yang lebih tinggi. Secara khusus, mereka melihat kepada penggabungan sebagai jalan penting untuk mengekalkan dan membina kecairan dalam pasaran mereka," kata Datuk Ali.

Beliau menyatakan keyakinan dalam strategi penggabungan bursa yang sedang berjalan, seperti yang dicadangkan dalam CMP, memandangkan peningkatan mendadak dalam perolehan di pasaran bagi syarikat yang mempunyai pertumbuhan tinggi berikutan penggabungan Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harta Automasi Malaysia (MESDAQ) dan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Datuk Ali juga menyatakan kemajuan berterusan pelaksanaan penggabungan borker saham yang dipacu pasaran, yang menyaksikan jumlah syarikat broker saham telah berkurangan dengan ketara kepada 47 (sehingga 9 Mei 2002), daripada jumlah asal 66 sebelum pengenalan rangka kerja polisi pada tahun 2000. Berpandukan pengumuman yang dibuat oleh syarikat broker saham dan cadangan yang diterima oleh SC setakat ini, bilangan syarikat broker saham dijangka berkurang lagi kepada 33.

Mengenai tadbir urus korporat, Datu Ali terharu dengan respons positif terhadap pemasukan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia ke dalam KLSE Listing Requirements yang diubahsuai, dan peningkatan kesedaran dan penghargaan terhadap langkah Malaysia untuk mempertingkat standard tadbir urus korporat dan pengiktirafan nilai pemegang saham. Beliau memberikan jaminan beliau bahawa SC akan meneruskan usahanya dalam bidang ini.

Dalam memberi komen mengenai pasaran bon, Datuk Ali berkata langkah-langkah untuk menyeragamkan struktur pengawalseliaan dan untuk meliberalisasikan lagi keperluan kepada PDS telah membolehkan kelulusan yang lebih cepat bagi terbitan hutang baru.

"Sukacita saya menyatakan bahawa dana yang dijana melalui pasaran PDS berkembang sebanyak 20% berbanding tahun sebelumnya, berjumlah melebihi RM37 bilion, termasuk bon Cagamas," kata beliau.

Mengenai prospek ekuiti yang didagangkan, Pengerusi SC menyatakan bahawa tinjauan positif bagi ekonomi Malaysia telah digambarkan secara meluas dalam pasaran saham, yang telah berterusan kukuh walaupun menghadapi tekanan global sehingga akhir tahun 2001.

"Sebagaimana yang dinyatakan oleh Tinjauan Pasaran Modal laporan tahunan SC, beberapa penilaian dan petunjuk sentimen menunjukkan peningkatan bagi ekuiti Malaysia pada tahun akan datang.

"Secara khusus, kecairan merupakan penentu penting prestasi pasaran dan akan menyaksikan peningkatan hasil daripada beberapa penyenaraian utama dan pelanjutan usaha penyusunan semula korporat dari tahun sebelumnya", kata Pengerusi SC.

Seterusnya, Datuk Ali memberi tumpuan kepada bidang tertentu yang dikemukakan oleh laporan tahunan tersebut.

Penggabungan bursa

Salah satu daripada langkah penting yang diambil oleh SC pada tahun 2001 membabitkan penyeragaman institusi pasaran, iaitu penggabungan bursa-bursa dan rumah-rumah penjelasan sekuriti dan derivatif sedia ada dalam sebuah entiti tunggal, untuk membolehkan ekonomi bidangan yang lebih tinggi dari segi pengurusan sumber yang lebih cekap.

Pengerusi SC berkata adalah dijangkakan bahawa bursa Malaysia yang tunggal akan menjalani proses demutualisasi dan disenaraikan di pasaran saham menjelang tahun 2003.

Beliau menekankan proses demutualisasi bukanlah sekadar satu proses mudah membabitkan pertukaran kepada sebuah entiti berasaskan saham. Sebaliknya, ia menyediakan peluang bagi bursa untuk berada pada kedudukan yang lebih teguh dan memberi respons kepada kepentingan kolektif pihak-pihak yang berkepentingan yang lebih luas dengan matlamat akhir menjadi sebuah badan yang lebih berdaya saing, dipacu oleh pelanggan dan mencari keuntungan agar dapat berkhidmat sebagai sebuah `peneraju' yang efisien kepada pasaran modal. Sebuah bursa tunggal, yang didemutualisasikan dan disenaraikan akan lebih berpeluang untuk mengadakan penggabungan strategik di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk menarik massa kritikal, kecairan pasaran dan kepakaran yang relevan kepada pasaran modal.

Penggabungan industri broker saham

SC menyambung usahanya untuk memudahcarakan penggabungan industri broker saham pada tahun 2001. Di samping perjumpaan dengan syarikat broker saham untuk menangani isu berkaitan rangka kerja polisi penggabungan industri broker saham, SC telah memperkenalkan insentif tambahan untuk menggalakkan penubuhan Broker Universal (UB) - UB dibenarkan untuk menyediakan kemudahan akses elektronik berikutan pengeluaran garis panduan bertajuk Guidelines on Electronic Access Facilities.

UB juga diberikan kelonggaran untuk memberikan diskaun sehingga 25% daripada kadar komisen semasa yang diguna pakai bagi dagangan dengan nilai kontrak RM100,000 ke bawah, bagi semua dagangan elektronik yang dilakukan oleh mereka.

Mempertingkat keberkesanan kos

Dalam menuju ke arah penetapan harga perkhidmatan pasaran modal yang dipacu pasaran, SC mengambil langkah untuk menyahkawal selia secara berperingkat fi dan mengurangkan kos transaksi di bursa-bursa.

Pada bulan Julai 2001, peringkat pertama pelan tersebut untuk mengurangkan kos transaksi, dimulakan. Fi SCANS dan SCORE, serta levi SC telah dikurangkan sebagaimana yang dirancang.

Tambahan lagi, pelbagai fi dalam industri derivatif telah boleh dirunding sepenuhnya pada bulan Disember 2001. Langkah ini termasuk kadar komisen pembrokeran dan penjelasan niaga hadapan, struktur perkongsian komisen antara broker niaga hadapan dan wakil mereka serta kadar komisen yang dikongsi antara ahli dagangan dan institusi.

Peringkat 2 langkah liberalisasi menjangkakan pengurangan seterusnya dilaksanakan pada bulan Julai 2002, yang mana kadar komisen akan boleh dirunding sepenuhnya, tertakluk kepada kadar maksimum 0.7%.

Memudahcarakan penjanaan modal

Tahun 2001 juga menyaksikan SC memperkenalkan langkah-langkah untuk memperkukuh dan membangunkan lagi rangka kerja pengawalseliaan yang mentadbir terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti. SC telah meliberalisasikan peraturan sedia ada yang berkaitan dengan penjanaan modal dan penerbitan sekuriti melalui pengenalan beberapa kelonggaran dalam garis panduannya.

"Memandangkan keadaan pasaran yang lemah, yang mungkin menghalang proses penjanaan dana oleh syarikat berdaya maju dan kukuh, SC mempercepat liberalisasi aspek garis panduannya yang tertentu sejajar dengan usaha beralih kepada sistem pengawalseliaan berteraskan penzahiran (DBR)".
"Kelonggaran ini memberikan syarikat yang mendapatkan dana daripada BSKL mempunyai lebih pilihan dalam menstruktur cadangan korporat mereka dan memberi respons dengan lebih berkesan terhadap keadaan pasaran yang berubah-ubah," kata Datuk Ali.
SC juga memperkenalkan beberapa kelonggaran untuk memudahcarakan terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti oleh syarikat di Malaysia. Kelonggaran tersebut diperkenalkan untuk memudahcarakan terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti oleh syarikat di Malaysia termasuk semakan semula keperluan rekod keuntungan bagi penyenaraian yang dicadangkan yang mana syarikat yang memohon penyenaraian di BSKL dibenarkan untuk memenuhi keperluan prestasi keuntungan yang lepas berdasarkan rekod pencapaian empat tahun, sebagai tambahan kepada rekod pencapaian tiga tahun atau lima tahun yang sedia ada.

Di samping itu, Garis panduan ESOS dikaji semula dan kriteria berteraskan merit bagi terbitan bonus yang wujud daripada pemodalan premium saham dan rizab lain telah dimansuhkan.

Pembangunan pasaran sekuriti hutang swasta (PDS)

Pasaran PDS menyaksikan pembangunan yang signifikan pada tahun 2001. Kesemuanya, 137 terbitan PDS diluluskan mengikut Guidelines on the Offering of Private Debt Securities, dengan nilai berjumlah RM56,765.21 juta. Pada tahun 2001 sahaja, SC meluluskan 114 terbitan PDS berjumlah RM45,688.64 juta.

Melihat langkah yang telah diambil untuk membolehkan kelulusan yang lebih cepat bagi terbitan PDS, Datuk Ali yakin bahawa langkah-langkah ini akan menyumbang ke arah pertumbuhan pasaran bon korporat di Malaysia, membawa kepada pasaran sekunder yang lebih cair dan berdaya maju.

"Banyak inisiatif lain untuk membangunkan pasaran bon sudah dijalankan, termasuk menerbitkan garis panduan mengenai sekuriti bersandarkan aset pada awal April 2001," kata Datuk Ali.

Beliau menambah garis panduan itu hanya merupakan langkah pertama ke arah membangunkan pensekuritian aset di Malaysia dan usaha seterusnya akan memberi tumpuan, antara lain, kepada rangka kerja pencukaian dan perakaunan yang merangkumi urus niaga pensekuritian.

Penggalakan tadbir urus korporat

Datuk Ali berkata di samping pengenalan KLSE Listing Requirements yang diubahsuai yang menguatkuasakan cadangan-cadangan Jawatankuasa Kewangan mengenai Tadbir Urus Korporat dan menggalakkan pematuhan kepada Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia, perubahan seterusnya kepada undang-undang sekuriti dan syarikat akan dilaksanakan apabila tiba masanya.

Beliau juga menegaskan bahawa meskipun langkah telah diambil dari segi pengenalan garis panduan baru dan kajian semula undang-undang, perlu diingatkan bahawa undang-undang dan peraturan hanya boleh berbuat setakat termampu dalam meningkatkan tadbir urus korporat.

"Peraturan bukan dan tidak pernah bertujuan menjadi penyelesaian kepada segala kepincangan dalam sektor korporat".

"Tadbir urus korporat bermula dengan diri sendiri - oleh itu, peserta pasaran diingatkan bahawa mereka harus memainkan peranan masing-masing dan meningkatkan tahap disiplin diri mereka, melaksanakan ketekunan wajar dan mematuhi standard tadbir urus yang tinggi," kata Datuk Ali.

Pasaran modal Islam

Satu daripada bidang keutamaan yang paling tinggi bagi SC ialah pembangunan pasaran modal Islam, selaras dengan matlamat CMP, yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah pusat pasaran modal Islam bertaraf antarabangsa.

Sehubungan dengan ini, pada tahun 2001, SC melalui Majlis Penasihat Syariahnya terus menjalankan analisis terhadap syarikat yang disenaraikan di BSKL untuk menentukan status Syariah syarikat-syarikat ini. Ini diikuti dengan terbitan Senarai Sekuriti yang Diluluskan Majlis Penasihat Syariah, dua kali pada tahun tersebut, pada bulan April dan Oktober.

Seterusnya, pada 14 Ogos, SC telah mengeluarkan kertas perundingan bertajuk Consultation Paper on Additional Requirements for Islamic Unit Trust Funds (Kertas Perundingan mengenai Keperluan Tambahan bagi Dana Unit Amanah Islam).

Untuk mempertingkat kepakaran peserta pasaran dalam pasaran modal Islam, satu seminar mengenai PDS Islam telah dianjurkan secara bersama oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM).

Usaha-usaha yang dimulakan pada tahun 2001 membawa kepada pelaksanaan dengan jayanya Minggu Pasaran Modal Islam yang pertama oleh SIDC pada Mac 2002. Bersandarkan Persidangan Antarabangsa Pasaran Modal Islam Kuala Lumpur, program tersebut telah menarik penyertaan daripada semua lapisan masyarakat menghadiri pelbagai program yang diatur khas.

Penguatkuasaan

Melengkapi usaha SC untuk menggalakkan dan membangunkan pasaran modal ialah langkah-langkah penguatkuasaannya.

Pada tahun 2001, SC telah membuka 31 kertas siasatan. Lapan kes dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan, sembilan dikompaun, satu surat amaran dikeluarkan dan 12 lagi ditutup tanpa sebarang tindakan susulan berikutan persetujuan Pendakwa Raya.

SC juga mengeluarkan dua surat amaran pada tahun 2001, satu kerana dakwaan melanggar syarat lesen wakil peniaga dan satu lagi kerana dakwaan berurus niaga dalam sekuriti tanpa lesen.

SC juga mengenakan 15 kompaun pada tahun 2001, yang berjumlah kira-kira RM2 juta. Kompaun tertinggi bagi tahun 2001 dikenakan terhadap South Johore Securities Sdn. Bhd. dan C.I. Holdings Bhd. Kedua-dua syarikat masing-masing membayar kompaun RM500,000. South Johore Securities telah bersubahat dengan beberapa individu untuk berurusan dalam sekuriti tanpa lesen dan berikutan itu menyalahi seksyen 12, yang dibaca bersama subseksyen 122(1) SIA. C.I. Holdings Bhd melanggar subseksyen 32(4) SCA apabila ia menjalankan satu cadangan tanpa kelulusan SC. Kedua-dua syarikat membayar kompaun itu.

Dari segi pendakwaan, SC telah mendakwa tujuh individu pada tahun 2001 kerana melanggar undang-undang sekuriti. Pendakwaan termasuk kesalahan menggunakan muslihat manipulasi dan mengelirukan berhubung pembelian atau penjualan sekuriti, penyerahan maklumat palsu atau mengelirukan berhubung sesuatu cadangan korporat atau jualan singkat. Kes-kes ini masih menunggu untuk dibicarakan setakat akhir tahun 2001.

Tahun 2001 juga menyaksikan sembilan individu mengaku bersalah terhadap pelbagai kesalahan. Kesalahan tersebut termasuk pemalsuan rekod mengikut FIA, menggunakan cara muslihat dan manipulasi dalam pembelian atau penjualan sekuriti dan jualan singkat.

Pengerusi SC berkata SC telah membuat kemajuan yang signifikan dalam membendung dagangan niaga hadapan tidak sah pada tahun 2001 dengan penangkapan dan seterusnya pengakuan bersalah seorang pengarah sebuah syarikat "komoditi lani".

Beliau berkata SC akan meneruskan serbuannya terhadap pedagang niaga hadapan tidak sah sedemikian, dan kami berharap publisiti itu akan menjadi amaran kepada orang ramai supaya tidak melabur dalam firma yang meragukan ini.

Hal ehwal antarabangsa

Di arena antarabangsa, tahun 2001 menyaksikan SC terus diiktiraf oleh komuniti pengawal selia antarabangsa melalui pembabitannya dalam usaha badan-badan pengawalseliaan antarabangsa dan peranan peneraju beberapa projek utama berkaitan pengawalseliaan kewangan antarabangsa. SC juga mengambil bahagian secara proaktif dalam perbincangan di peringkat antarabangsa mengenai sistem kewangan antarabangsa. Matlamat utama termasuk mengukuhkan hubungan dengan rakan sejawatan asing, memastikan pandangan Malaysia diutarakan dan dipertimbangkan sewajarnya dan mencapai pengiktirafan negara di kalangan pengawal selia dan komuniti kewangan antarabangsa.

Dalam memberi komen mengenai tragedi 11 September, Pengerusi SC berkata kejadian tersebut menggambarkan kepentingan kerjasama antarabangsa. Semasa tempoh mencabar itu, SC telah meraih manfaat daripada pelbagai saluran komunikasi yang diwujudkan antara ahli IOSCO, yang mana maklumat mengenai kesan serangan itu ke atas pasaran dan maklumat penting yang berkaitan dikongsi oleh negara-negara anggota.

"Pasti ramai masih ingat mengenai ketidaktentuan pasaran yang menular di seluruh dunia, tetapi saya bersyukur kerana wujud kerjasama penuh dalam pertukaran maklumat antara pengawal selia dan tindakan penguatkuasaan.

"Berikutan 11 September, IOSCO telah menubuhkan satu pasukan projek khas, yang mana SC merupakan ahli dalamnya, untuk mencari jalan tindakan-tindakan yang patut diambil oleh para pengawal selia," kata Datuk Ali.

Pengerusi SC juga menyatakan bahawa SC telah membabitkan diri secara aktif dalam usaha laporan Jawatankuasa mengenai Sistem Pembayaran dan Penyelesaian (CPSS)-IOSCO berhubung "Cadangan bagi Penyelesaian Sekuriti". SC, sebagai ahli Pasukan Petugas bersama CPSS-IOSCO mengenai Sistem Penyelesaian Sekuriti, bersidang bersama-sama 26 pengawal selia sekuriti dan bank pusat dari 18 negara dan Kesatuan Eropah untuk membangunkan ukuran rujuk ini bagi sebuah sistem penyelesaian sekuriti yang efisien, mantap dan selamat.

Laporan itu mengemukakan pelbagai cadangan untuk menggalakkan pelaksanaan oleh sistem penyelesaian sekuriti yang akan meningkatkan kestabilan kewangan antarabangsa, mengurangkan risiko, meningkatkan kecekapan dan menyediakan perlindungan secukupnya bagi para pelabur.

Untuk memudahcarakan peruntukan maklumat dan kerjasama antara rakan sejawatan asing, SC telah menandatangani dua lagi MoU pada tahun 2001, dengan rakan sejawatan dari India dan Poland. Ini membawa jumlah MoU yang ditandatangani antara SC dan rakan sejawatannya kepada 14, dengan negara lain iaitu Argentina, Australia, Brazil, Chile, China, Perancis, Hong Kong, Indonesia, Kenya, Afrika Selatan, Taiwan and Thailand.

Maju ke hadapan

Dalam usaha untuk maju ke hadapan, Datuk Ali berkata tugas untuk mencapai sebuah pasaran modal yang lebih efisien dan dinamik memerlukan komitmen daripada semua pihak, dan pengawal selia tidak terkecuali.

Sepanjang tahun 2001 dan berterusan pada tahun 2002, usaha yang lebih gigih dihalakan ke arah meningkatkan kecekapan dan membangunkan keupayaan yang lebih teguh dalam SC sendiri menerusi Program Transformasi Organisasi (OTP). OTP membabitkan bukan sahaja pembaikan kecekapan struktur dan proses kawal selia, tetapi juga proses dan sistem dalaman.

Ini merupakan laporan tahunan kelapan SC sejak penubuhannya pada Mac 1993. Laporan tahunan tersebut boleh didapati dalam bentuk cetakan serta secara elektronik di tapak web SC di sini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup