SC Pelawa Maklum Balas Awam Ke atas Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab

17 Disember 2021

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan kertas perundingan awam untuk mendapatkan maklum balas awam ke atas Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) berasaskan prinsip bagi Pasaran Modal Malaysia (Taksonomi SRI).

Bertepatan dengan saranan Pelan Hala Tuju SRI bagi Pasaran Modal Malaysia SC, Taksonomi SRI tersebut telah dibangunkan bagi membolehkan peserta pasaran modal Malaysia mengenal pasti aktiviti-aktiviti ekonomi yang sejajar dengan pencapaian matlamat persekitaran, sosial dan kemampanan. Ini akan memudahcarakan pembuatan keputusan dalam pengumpulan dana dan pelaburan yang lebih bermaklumat dan cekap.

Taksonomi SRI tersebut turut menyediakan prinsip panduan dalam pembiayaan peralihan yang boleh dipercayai bagi membolehkan lebih banyak syarikat memanfaatkan instrumen berasaskan pasaran dalam memenuhi keperluan kewangan peralihan mereka.

Taksonomi SRI bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan kelas aset SRI dan menggalakkan lebih kesedaran dan pemakaian amalan kemampanan dalam syarikat korporat di Malaysia. Ia menyediakan panduan sukarela kepada peserta pasaran modal untuk menjalankan aktiviti ekonomi yang mampan berdasarkan prinsip yang disediakan.

Taksonomi SRI yang dibangunkan oleh Kumpulan Kerja Industri (IWG), dipengerusikan oleh SC. Ahli-ahli IWG terdiri daripada Hab Kewangan Pertumbuhan Inklusif & Mampan Kumpulan Bank Dunia di Malaysia selaku Ketua Pakar Teknikal serta wakil-wakil dari Bursa Malaysia, syarikat pengurusan aset dan dana, bank pelaburan, pemilik aset dan pakar kewangan mampan.

Kertas perundingan tersebut boleh didapati di sini. Pihak yang berminat dan orang ramai adalah dipelawa untuk mengemukakan komen dan maklum balas kepada SC sebelum 31 Mac 2022 melalui pautan ini.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

HUBUNGI KAMI
HOTLINE: +603-6204 8000
PAUTAN BERKAITAN
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia    |    Hubungi Kami    |    Penolak Tuntutan    |    Paparan laman yang lebih baik menggunakan Internet Explorer 11 dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup