SC Pelawa Maklum Balas Awam Mengenai Rangka Kerja Kawal Selia bagi Pemegang Amanah dan Kustodian
12 Oktober 2016|   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan kertas perundingan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan rangka kerja pengawalseliaan bagi pemegang amanah dan kustodian dalam pasaran modal Malaysia

Ketika ini, terdapat 90 kustodian dan pemegang amanah yang memegang aset bernilai kira-kira RM1.7 trilion bagi pihak pelabur. SC mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh pemegang amanah dan kustodian bagi mengekalkan kepercayaan pelabur dalam pasaran modal dengan melindungi aset dan kepentingan pelabur.

Memandangkan pentingnya fungsi entiti-entiti ini, SC mencadangkan untuk mengkaji semula rangka kerja kawal selia yang termasuk memperkemas standard kemasukan dan kewajipan tatalaku berterusan yang mewujudkan kesamarataan dalam kalangan pemegang amanah dan kustodian. Untuk meningkatkan kecekapan, SC juga mencadangkan pendaftaran sekali sahaja yang membolehkan pemegang amanah menyediakan perkhidmatan untuk semua produk pasaran modal dan bukan lagi pendaftaran berasaskan produk semasa.

Rangka kerja ini adalah selaras dengan usaha SC untuk menyusun semula pendekatan kawal selianya daripada yang bertumpu produk kepada yang bertumpu pengantara/aktiviti. Rangka kerja ini memberi tumpuan kepada tatalaku pengawalseliaan bagi memastikan pemegang amanah dan kustodian mengutamakan pelabur dalam semua proses pembuatan keputusan mereka. Di samping itu, lebih penekanan diberikan kepada tanggungjawab lembaga pengarah dan pengurusan terhadap tatalaku entiti berdaftar dan wakil-wakil mereka. SC juga akan meningkatkan pengawasan terhadap pemegang amanah dan kustodian bagi memastikan entiti berdaftar ini kekal layak dan sesuai dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka untuk melindungi hak-hak dan aset pelabur.

Kertas perundingan tersebut berhubung cadangan rangka kerja kawal selia boleh didapati di laman sesawang SC: www.sc.com.my. Pihak-pihak dan orang ramai yang berminat adalah dialu-alukan untuk mengemukakan komen dan maklum balas kepada alamat dan emel feedbackT&[email protected] sebelum tarikh tutup 12 November 2016.

Jabatan pengawasan
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
3 Persiaran Bukit Kiara
Bukit Kiara
50490 Kuala Lumpur
Emel: feedbackT&[email protected]
Faks: 603 20910 760

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Ooops!
Generic Popup