SC pelawa maklum balas orang ramai bagi sistem penyelesaian sekuriti

Kuala Lumpur, 8 Januari 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan bahawa perkembangan pelaksanaan penggabungan industri broker saham adalah agak menggalakkan.

Berdasarkan pengumuman-pengumuman yang dibuat oleh syarikat broker saham dan cadangan yang diterima oleh SC sehingga 31 Disember 2000, sembilan syarikat broker saham telah mengadakan perjanjian yang kukuh untuk memperoleh atau bergabung dengan tiga lagi syarikat broker saham dan kini berada dibeberapa peringkat menguatkuasakan pelaksanaan penggabungan. Sembilan syarikat broker saham ini dan rakan gabungannya adalah seperti dalam Jadual 1.

Memperoleh tiga atau lebih syarikat broker saham adalah satu syarat yang diperlukan untuk menjadi sebuah Broker Universal. Untuk layak sebagai sebuah Broker Universal, syarikat broker saham juga dikehendaki memenuhi syarat-syarat kuantitatif dan kualitatif seperti yang ditentukan dalam Garis Panduan Bagi Universal Broker SC. Di antara syarat-syarat ini adalah keperluan untuk mempunyai modal berbayar minimum sebanyak RM250 juta, modal teras minimum sebanyak RM250 juta dan nisbah kecukupan modal sekurang-kurangnya 1.5 kali. Syarikat broker saham yang bergabung juga mesti memenuhi syarat-syarat layak dan patut yang tertentu.

Sehingga 31 Disember 2000, sebuah syarikat broker saham telah mencadangkan untuk memperoleh atau bergabung dengan dua lagi syarikat broker saham, manakala tujuh lagi telah mencadangkan untuk memperoleh atau bergabung dengan sebuah lagi syarikat broker saham. Dua belas lagi syarikat broker saham belum lagi membuat sebarang pengumuman atau mengemukakan cadangan kepada SC. Walau bagaimanapun, hampir kesemua syarikat broker saham ini telah memaklumkan kepada SC hasrat mereka untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan penggabungan tersebut. (Lihat Jadual 2)

Sehingga kini, enam lesen pembrokeran saham telah diserahkan dan perniagaan pembrokeran mereka telah ditukarkan kepada pejabat cawangan. Enam syarikat broker saham ini adalah Omega Securities dan Taiping Securities, Utama Securities, WK Securities, Premier Capital Securities, dan Halim Securities, masing-masing telah ditukar kepada cawangan-cawangan Hwang-DBS Securities, Sarawak Securities, Kuala Lumpur City Securities, OSK Securities dan JF Apex Securities. Ini telah dapat mengurangkan secara berkesan jumlah syarikat broker saham kepada 60 buah.

Berdasarkan pengumuman berkaitan dan cadangan yang diterima oleh SC, adalah dijangkakan 30 lagi lesen pembrokeran saham akan diserahkan, mengurangkan lagi jumlah syarikat broker saham kepada separuh, iaitu 30 buah.

SC telah mengumumkan Rangka Kerja Polisi Penggabungan Industri Broker Saham pada suku kedua tahun 2000. Rangka Kerja Polisi tersebut merupakan susulan kepada inisiatif yang terdahulu untuk menggalakkan penggabungan di kalangan syarikat broker saham.

Rangka Kerja Polisi tersebut menyokong proses penggabungan berdasarkan prinsip hala tuju pasaran, dengan membenarkan syarikat broker saham menentukan rakan gabungan mereka sendiri dan menetapkan penilaian mereka sendiri. Objektif pelaksanaan penggabungan ini adalah bagi memperkukuhkan industri tersebut dan menubuhkan satu kumpulan teras syarikat broker saham yang mempunyai modal yang banyak terutamanya yang terdiri daripada Broker Universal.

SC telah memperkenalkan beberapa insentif bagi menggalakkan penubuhan Broker Universal termasuk hak untuk menjalankan perkhidmatan pasaran modal yang luas, membuka pejabat cawangan serta kemudahan pencukaian.

Syarikat broker saham yang tidak bercadang untuk menjadi atau tidak berkelayakan sebagai Broker Universal adalah dibenarkan untuk beroperasi dalam bahagian pasaran masing-masing sebagai Bukan Broker Universal. SC yakin bahawa baki 12 buah syarikat broker saham akan mengadakan perjanjian penggabungan berdasarkan komitmen ahli-ahli Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia serta wakil-wakil syarikat broker saham yang disokong bank bahawa mereka akan bergabung dengan sekurang-kurangnya sebuah syarikat broker saham yang lain.

SC akan terus mengendalikan proses penggabungan industri broker saham dan akan memberikan sokongan penuhnya bagi menggalakkan penggabungan yang ditentukan oleh pasaran. SC menekankan bahawa penggabungan tersebut adalah penting bagi melahirkan perantara pasaran tempatan yang lebih kukuh dengan keupayaan untuk bersaing dalam persekitaran globalisasi dan liberalisasi yang meningkat.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup