SC, Pemimpin Industri Bincang Inisiatif Pasaran Modal Baharu

Perbincangan tertumpu pada pengumuman Perdana Menteri di atas pelancaran Ekonomi MADANI

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 6 Ogos 2023

Berikutan pelancaran ‘Ekonomi MADANI’ oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023 lalu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengadakan dialog industri tahunannya pada minggu lepas. Ini bertujuan membincangkan bidang-bidang utama untuk terus dibangunkan bagi mengembangkan pasaran modal.

Dialog Industri SC Tahunan 2023 (SCID 2023) menyaksikan 60 pemimpin dan wakil kanan industri pasaran modal berkongsi idea dan cadangan serta mengetengahkan isu dan cabaran dalam pelbagai topik di bawah tiga bidang luas iaitu peluang pelaburan, keterangkuman pendanaan dan pembaharuan dalam pasaran modal.

Ini termasuk memperkukuh usaha mempromosi pasaran modal untuk, antara lain, membina saluran penerbit domestik yang lebih kukuh, merancakkan pasaran, meluaskan kumpulan pelabur, serta mempergiatkan usaha berkaitan agenda kelestarian dan kepimpinan Malaysia dalam pasaran modal Islam (ICM).

Peserta industri juga menyatakan penghargaan mereka terhadap langkah-langkah pasaran modal yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, serta yang diumumkan pada Februari dan Jun tahun ini. Adalah digariskan bahawa beberapa langkah juga telah dilaksanakan sejak itu iaitu pengurangan duti setem bagi dagangan saham dan dagangan sekunder dalam pasaran swasta.

Selanjutnya, industri menantikan pelaksanaan inisiatif lain, termasuk meluaskan definisi pelabur canggih, yang SC jangkakan akan berkuat kuasa sebelum penghujung 2023.

Perbincangan di SCID 2023 tertumpu kepada tiga langkah pasaran modal baru-baru ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri minggu lepas seperti berikut:

  1. Mengurangkan saiz lot dagangan semasa di Bursa Malaysia daripada 100 unit kepada tahap yang lebih berpatutan;
  2. Membolehkan dagangan saham pecahan oleh pelabur melalui broker saham; dan
  3. Membolehkan pemindahan automatik untuk syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, tertakluk kepada kriteria tertentu.

Pengerusi SC, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata: “Dengan meneruskan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, SC boleh memanfaatkan kepakaran mereka untuk memacu pembaharuan dan penambahbaikan yang diperlukan ke arah mengukuhkan kerancakan, keterangkuman dan daya saing pasaran modal Malaysia.”

Pengurangan saiz lot dagangan dan pengenalan dagangan pecahan saham yang didagangkan di Bursa Malaysia akan menyediakan akses yang lebih besar kepada kumpulan pelabur yang lebih luas, terutamanya pelabur runcit dan muda, untuk melabur dalam pasaran saham dan membina portfolio yang seimbang. Ini juga akan meningkatkan dagangan dan kecairan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat dan pelabur, dan mewujudkan persekitaran pasaran yang lebih aktif dan dinamik.

Beliau berkata Bursa Malaysia sedang meninjau untuk mengurangkan lot dagangan daripada 100 saham kepada tahap yang sesuai, dengan mengambil kira keperluan untuk pendekatan pelaksanaan paling berkesan dengan broker bersetuju untuk menyemak semula komisen minimum semasa bagi membolehkan pengurangan saiz lot dagangan.

Selanjutnya, SC juga telah bersetuju untuk memberikan fleksibiliti kepada broker sekuriti untuk menawarkan dagangan pecahan bagi meningkatkan akses pelabur runcit kepada pasaran saham. Broker yang menawarkan dagangan pecahan saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia perlu mematuhi satu set prinsip yang luas, seperti ketelusan harga.

Berhubung dengan pemindahan automatik syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, beberapa isu dan prinsip yang lebih luas yang dibincangkan di SCID 2023 termasuk mempunyai kriteria yang bermakna untuk memastikan kemampanan syarikat yang digalakkan untuk memenuhi keperluan untuk terus kekal di Pasaran Utama.

Dato’ Seri Dr. Awang berkata proses pemindahan itu akan memberi manfaat kepada syarikat Pasaran ACE yang berkelayakan dengan memberikan mereka peluang yang lebih besar dan akses kepada kumpulan pelabur yang lebih besar.

Selain itu, peningkatan bilangan syarikat tersenarai dengan permodalan pasaran yang besar di Pasaran Utama akan menawarkan pelbagai peluang pelaburan dalam pasaran modal Malaysia kepada lebih ramai pelabur, terutamanya pelabur besar dan asing.

Beliau berkata kriteria dan proses itu kini sedang dikaji dan dibincangkan bersama Bursa Malaysia, dan pengumuman lanjut akan dibuat apabila rangka kerja itu dimuktamadkan.

Beliau menambah, "Kami menyasarkan kriteria kelayakan untuk pemindahan automatik siap menjelang akhir 2023, manakala prinsip luas untuk dagangan pecahan akan dikeluarkan pada akhir Q3 tahun ini."

SCID 2023 yang diadakan dengan pihak berkepentingan industri minggu ini adalah tepat pada masanya dalam memudahkan pelaksanaan langkah pasaran modal ini. Ia juga telah memberikan pandangan yang berguna dan menghasilkan idea-idea baharu untuk terus membangunkan pasaran modal.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup