SC: Pengarah, CEO yang Melanggar Undang-undang Boleh Dilucut Kelayakan dan Disingkir

Kuala Lumpur, 5 Februari 2004

"Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasanya dan menghukum pengarah dan ketua pegawai eksekutif (CEO) yang menyalahgunakan kuasa atau menunjukkan tanda-tanda kesalahan tersebut," kata Pengerusi SC Datuk Ali Abdul Kadir.

"Pengarah dan CEO sebagai pengendali syarikat yang dilantik mesti menjalankan tugas mereka secara profesional dan dengan integriti. Perlindungan pelabur merupakan satu keutamaan, SC tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana ketakpatuhan peraturan atau undang-undang yang dilakukan oleh pengarah dan CEO yang boleh menjejaskan perlindungan pelabur," tambah beliau.

Datuk Ali seterusnya mengingatkan, "Dalam menyemak dan meluluskan permohonan dan kenyataan kewangan korporat, SC sudah tentu akan mengambil kira kesalahan seperti pecah amanah dan pengelakan cukai oleh pengarah atau CEO."

Kuasa SC untuk melucut kelayakan dan menyingkir pengarah dan CEO daripada jawatan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA) dan Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA) telah diperluas dengan ketara melalui pindaan kepada Akta-Akta tersebut yang berkuat kuasa mulai Januari tahun ini.

Di bawah seksyen 100 SIA, SC boleh mengambil tindakan terhadap pengarah yang didapati berkemungkinan melanggar mana-mana undang-undang sekuriti, walaupun sesuatu jenayah belum dilakukan. SC juga boleh memohon Mahkamah untuk menyingkirkan pengarah tersebut daripada jawatannya, atau menghalangnya daripada menjadi pengarah mana-mana syarikat awam atau syarikat awam tersenarai.

Di samping itu, di bawah seksyen 99C(3) SIA, SC juga boleh memohon kepada Mahkamah agar menyingkirkan seseorang CEO atau pengarah daripada jawatan sekiranya CEO atau pengarah tersebut telah disabitkan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang sekuriti, atau di mana SC telah mengambil tindakan sivil ke atasnya bagi mana-mana pelanggaran undang-undang sekuriti, atau bagi ketakpatuhan dengan peraturan bursa. Di bawah peruntukan ini, SC boleh memohon agar Mahkamah menyingkirkan pengarah atau CEO daripada jawatannya bagi tempoh yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

"Dalam hal ini, peruntukan tersebut adalah tidak terhad kepada pengarah tetapi juga meliputi CEO, dan ia membenarkan SC untuk menyingkir mereka dalam keadaan yang meluas," kata Datuk Ali.

SC juga mempunyai kuasa di bawah seksyen 158 SCA untuk mengambil tindakan tadbir, yang merangkumi denda sehingga RM1 juta dan celaan awam, terhadap individu yang gagal mematuhi syarat dan garis panduan berkaitan dengan penjanaan dana. SC juga boleh mengeluarkan kenyataan awam untuk mengisytiharkan bahawa pemegangan jawatan berterusan oleh seseorang pengarah yang didapati melanggar undang-undang, boleh menjejaskan kepentingan umum.

Kehilangan kelayakan pengarah syarikat bagi tempoh maksimum selama lima tahun juga terkandung dalam seksyen 130 Akta Syarikat 1965, bagi mereka yang disabitkan kesalahan yang melibatkan penipuan atau pecah amanah.

Datuk Ali berkata bahawa SC akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk mengekalkan kebertanggungjawaban korporat, integriti dan ketelusan dalam pasaran. Beliau berkata, "Sekiranya kami mendapati bukti pelanggaran undang-undang, sama ada yang berkaitan dengan sekuriti atau yang lain, seperti kesalahan pecah amanah, pengelakan cukai, penipuan dalam urus niaga kewangan, penyamaran wang (money laundering) dan mekanisme peletakan harga pemindahan tidak sah, kami akan bekerjasama dengan pengawal selia lain untuk memastikan kepentingan umum negara terpelihara."

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup