SC Perkenal Buku Peraturan dalam Rangka Kerja Semakan Pengambilalihan dan Percantuman
15 Ogos 2016|   Kuala Lumpur
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan buku peraturan mengenai Rangka Kerja Pengambilalihan dan Percantuman yang disemak semula untuk memudahcarakan aktiviti pasaran dalam persekitaran yang pantas berubah, di samping memastikan perlindungan sewajarnya terhadap pemegang saham.

Peraturan Pengambilalihan, Percantuman dan Pengambilan Paksa 2016 (Peraturan) menyatakan keperluan operasi dan perlakuan berhubung pengambilalihan dan dikeluarkan sebagai garis panduan SC di bawah seksyen 377 Akta Perkhidmatan dan Pasaran Modal 2007.

Peraturan ini mula berkuat kuasa pada hari ini bersama-sama Kod Malaysia Mengenai Pengambilalihan dan Percantuman 2016 yang disemak semula, yang menggariskan prinsip-prinsip umum yang perlu dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam mana-mana tawaran pengambilalihan atau percantuman. Ini termasuk, antara lain, prinsip bahawa semua pemegang saham mesti diberi layanan sama rata dalam mana-mana tawaran pengambilalihan dan tidak boleh ditindas atau berada dalam keadaan yang merugikan melalui layanan atau perlakuan pihak yang berkaitan dengan suatu tawaran pengambilalihan.

Sejajar dengan usaha SC untuk beralih ke arah sistem kawal selia keberkadaran, penambahan tersebut adalah bagi memastikan rangka kerja pengambilalihan akan memudahcarakan realiti komersial di samping melindungi para pemegang saham, sekiranya diperlukan. Ini termasuk penetapan bahawa syarikat awam tidak tersenarai yang besar adalah tertakluk kepada Kod tersebut, memansuhkan pengehadan bahawa skim pengambilalihan hanya boleh dilaksanakan oleh pihak yang memegang lebih 50% kepentingan ekuiti dan menyediakan panduan yang jelas terhadap perlakuan yang diperlukan dalam suatu tawaran pengambilalihan.

SC telah bekerjasama dengan para pengamal pasaran dan pelabur untuk memastikan pandangan pasaran diambil kira dalam perumusan rangka kerja yang dipertingkat ini. Peraturan dan Kod yang disemak semula tersebut boleh didapati di laman sesawang SC di www.sc.com.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup