SC perkenal garis panduan bagi pewujudan kemudahan akses elektronik oleh Broker Universal

Kuala Lumpur, 29 Ogos 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan garis panduan bagi Broker Universal menyediakan kemudahan akses elektronik.

"Kemudahan akses elektronik" ialah satu istilah yang digunakan untuk merujuk kepada berbagai tapak fizikal, lokasi atau premis yang mengandungi kemudahan yang membolehkan pelanggan membuat tempahan atau mendapatkan pasaran atau maklumat nasihat pelaburan secara elektronik.

Garis Panduan bertajuk "Garis Panduan Pewujudan Kemudahan Akses Elektronik oleh Broker Universal" (Garis Panduan), timbul daripada cadangan yang dibuat dalam Kertas Rundingan SC bertajuk "Rangka Kerja bagi Pelaksanaan Perdagangan Elektronik dalam Pasaran Modal" yang dikeluarkan tahun lalu.

Pengenalan Garis Panduan ini adalah sejajar dengan usaha SC untuk mewujudkan satu rangka kerja bagi pelaksanaan perdagangan elektronik bagi pasaran modal yang teratur dan berkesan. SC juga berhasrat untuk memudahcarakan lagi kemajuan proses penggabungan industri broker saham melalui insentif tambahan bagi menggalakkan penubuhan Broker Universal yang telah dinyatakan dalam Garis Panduan itu.

SC berharap Garis Panduan ini akan menggalakkan Broker Universal untuk mewujudkan kemudahan akses elektronik bagi meningkatkan akses kepada pelanggan mereka, serta menggunakan kemudahan terkini dengan menawarkan kepada para pelabur akses kepada sistem dalam talian yang lebih banyak.

Garis Panduan ini telah dirumuskan selepas rundingan terperinci dengan Kumpulan Kerja Kecil mengenai Dagangan Dalam Talian, yang terdiri daripada wakil daripada bursa-bursa serta persatuan industri, dan secara khusus dengan semua ahli Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM). Kumpulan Kerja Kecil mengenai Dagangan Dalam Talian ditubuhkan bawah naungan Kumpulan Kerja Perdagangan Elektronik, yang diumumkan oleh SC sebagai usaha bersama antara pihak berkuasa pengawalseliaan dan peserta pasaran untuk membangun satu rangka kerja yang dimudahcara bagi perdagangan elektronik dalam pasaran modal Malaysia.

Skop Garis Panduan

Kemudahan akses elektronik termasuk peralatan seperti kios atau pondok Internet, serta pusat pelaburan yang menempatkan komputer peribadi yang membolehkan pelabur mendapat akses kepada laman web broker mereka atau sistem laluan pesanan dalam talian lain, tetapi tidak tertakluk kepada yang sedemikian. Pendekatan alat neutral telah diambil memandangkan perubahan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dan kemunculan perantara komunikasi antara pihak broker dan pelanggan yang baru dan berinovatif.

Kemudahan akses elektronik akan menarik minat pelabur bebas, yang ingin mendapatkan akses terus kepada laluan pesanan dan maklumat nasihat, tanpa perlu melabur dalam perkakasan yang berintensif kos. Garis Panduan tersebut dirumus untuk menangani keadaan yang mana Broker Universal berhasrat mewujudkan peralatan fizikal dan tapak di lokasi fizikal di luar pejabat utama atau pejabat cawangan sedia ada.

Garis Panduan ini tidak meliputi peruntukan penggunaan secara maya (virtual) seperti laman web atau sistem dail `extranet' bawah pengawalan peraturan lain, seperti `Code on Electronic Client Ordering Service' (ECOS) Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Garis Panduan ini juga tidak merangkumi penggunaan komputer peribadi persendirian oleh seseorang pelabur atau alat dail yang diletakkan di premis pelabur, selagi komputer atau peralatan ini tidak digunakan oleh pelabur tersebut untuk tujuan komersil dengan memberikan akses kepada pelabur lain dengan bayaran tertentu.

Manfaat dan insentif kepada Broker Universal

Pewujudan kemudahan akses elektronik sedemikian oleh sesebuah Broker Universal adalah tidak dianggap sebagai sebuah pejabat cawangan Broker Universal, dengan syarat kelulusan SC diperolehi bawah Garis Panduan ini.

Broker Universal adalah bebas untuk menentukan jenis, saiz, bilangan dan lokasi kemudahan ini. Walau bagaimanapun, Broker Universal mesti memastikan bahawa kemudahan ini terpelihara daripada sebarang pengubahan dan kemasukan tanpa kebenaran, di peringkat penggunaan dan juga fizikal. Keselamatan urus niaga serta rahsia pelanggan hendaklah diutamakan.

Lesen peniaga Broker Universal akan menyatakan kelulusan SC kepada Broker Universal untuk mewujudkan kemudahan akses elektronik tersebut.

Broker Universal akan dibenarkan menempatkan kakitangan di kemudahan itu hanya bagi menyediakan khidmat teknikal kepada pelabur dan mengawasi peralatan yang ditempatkan di situ. Garis Panduan tersebut bertujuan menggalakkan pembangunan kemudahan fizikal yang lebih banyak di pelbagai lokasi yang diwujudkan untuk menyediakan akses dalam talian kepada pelabur bebas, yang ingin menjalankan dagangan tanpa remisier, sama ada untuk memasukkan pesanan mereka atau mendapatkan nasihat pelaburan.

Oleh itu, proses kelulusan dijangka akan menjadi mudah dan cepat berikutan objektif Garis Panduan ini.

Kadar Komisen

Sebagai langkah lanjut ke arah membangun rangka kerja perdagangan elektronik yang lebih memudahcara, terutamanya yang berkaitan dengan dagangan dalam talian, Broker Universal akan diberikan kelonggaran untuk memberikan diskaun sehingga 25% daripada kadar komisen sekarang ini yang diguna pakai bagi dagangan dengan nilai kontrak sebanyak RM100,000 dan kurang daripadanya, bagi semua dagangan laluan elektronik yang mereka laksanakan.

SC berharap Garis Panduan ini akan menggalakkan Broker Universal untuk mewujudkan kemudahan akses elektronik bagi meningkatkan akses kepada pelanggan mereka, serta menggunakan kemudahan terkini dengan menawarkan akses kepada sistem dalam talian yang lebih banyak kepada para pelabur.

Garis Panduan tersebut boleh didapati di laman web SC di www.sc.com.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup