SC Perkenal Garis Panduan Pemegang Amanah Skim Unit Amanah

Kuala Lumpur, 20 Februari 2002

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan satu set garis panduan mengenai pelantikan pemegang amanah bagi skim-skim unit amanah dalam keadaan di mana kemungkinan terdapat konflik kepentingan. Garis panduan tersebut boleh didapati di sini.

Garis Panduan tersebut, bertajuk Guidelines on Allowing a Person to be Appointed or to Act as a Trustee under Subsection 99(1) of the Securities Commission Act 1993, diperkenalkan untuk memudahcarakan permohonan oleh mereka yang dicadangkan untuk dilantik atau bertindak sebagai pemegang amanah skim-skim unit amanah, mengikut subseksyen 99(1) Akta Suruhanjaya Sekuriti (SCA). Tujuan utamanya adalah sebagai semakan dan imbangan bagi melindungi kepentingan pemegang unit amanah.

Subseksyen 99(1) SCA menyatakan kategori mereka yang dianggap berada dalam konflik kepentingan, dan oleh itu tidak layak untuk dilantik atau bertindak sebagai pemegang amanah skim unit amanah melainkan kelulusan daripada SC telah diperolehi.

Secara khususnya, subseksyen 99(1) SCA menyatakan bahawa seseorang tidak layak untuk dilantik atau bertindak sebagai seorang pemegang amanah bagi pemegang-pemegang unit tanpa kelulusan SC sekiranya dia merupakan seorang pemegang saham benefisiari dalam syarikat pengurusan yang mengurus sesuatu skim unit amanah, mempunyai hak benefisiari ke atas wang yang dimiliki oleh syarikat pengurusan itu, atau merupakan badan yang berkaitan dengan syarikat pengurusan atau mana-mana kategori individu yang dirujuk di atas.

Garis panduan itu, dalam memudahcarakan penggunaan subseksyen 99(1) SCA, mengandungi peruntukan termasuk keperluan bahawa sekurang-kurangnya sepertiga daripada lembaga pengarah pemegang amanah yang memohon kelulusan bawah garis panduan tersebut terdiri daripada ahli bebas, dan tiada pengarah yang sama dilantik dalam lembaga pengarah kedua-dua syarikat pengurusan dan pemegang amanah.

Garis Panduan tersebut juga menghendaki pemisahan perundangan dan struktur antara pemegang amanah dan mereka yang dinyatakan dalam subseksyen 99(1). Kebebasan sumber kewangan dan bukan kewangan antara pemegang amanah yang memohon kelulusan dan mereka yang dirujuk dalam subseksyen 99(1) adalah keperluan lanjutan garis panduan tersebut.

Bawah garis panduan itu, bakal pemegang amanah bagi sesuatu skim unit amanah dan syarikat pengurusan juga mesti menyediakan satu aku janji mengenai kebebasan mereka dalam urusan skim bawah pemegangan amanah.

SC akan hanya membenarkan seseorang untuk bertindak sebagai pemegang amanah bagi pemegang unit bawah subseksyen 99(1) sekiranya keperluan garis panduan tersebut dipenuhi. Salah satu syarat kelulusan oleh SC ialah keperluan garis panduan tersebut terus dipatuhi sepanjang pelantikan pemegang saham sesuatu skim unit amanah. Penzahiran dan pengisytiharan relevan juga perlu dibuat oleh pemegang amanah kepada pemegang unit semasa bertindak sebagai pemegang amanah skim unit amanah.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup